Pemilihan semula lebih baik berbanding undang-undang anti lompat, kata Najib

Pemilihan semula lebih baik berbanding undang-undang anti lompat, kata Najib

Bekas perdana menteri berkata cara itu dilihat lebih adil kepada parti asal dan pengundi.

Najib Razak dan Azalina Othman Said berkata, pemilihan semula akan memberikan pengundi peluang kedua untuk memilih wakil mereka.
PETALING JAYA:
Pemilihan semula wakil rakyat adalah lebih baik berbanding undang-undang antilompat jika Ahli Parlimen mahu bertukar kepada parti lain, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri berkata, seperti diamalkan oleh beberapa negara Komanwel lain yang menyaksikan ahli parti yang mahu menukar parti atau dipecat oleh parti mereka akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan pilihan raya kecil akan dilaksanakan bagi kawasan Parlimen berkenaan.

“Walaupun parti yang paling banyak menerima lompatan katak politik mahu akta antilompat parti dilaksanakan segera (mungkin bimbang katak akan lompat lagi kot), mengharamkan Ahli Parlimen dari lompat ke parti lain setelah menang dalam PRU bukan cara penyelesaiannya,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, lebih parah lagi sekiranya ada Ahli Parlimen yang “lebih gemar” kepada parti lain tetapi terpaksa berada dalam parti sendiri sebab mereka tidak dibenarkan untuk melompat mengikut undang-undang.

“Lagi banyak masalah yang akan dicetuskan pada parti asal mereka,” katanya.

Semalam, bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said berkata, antara cara mencegah tindakan lompat parti adalah dengan memperkenalkan “pilihan raya untuk memecat wakil rakyat”.

Dalam perkongsian berbentuk FAQ berkenaan Akta Mencegah Lompat Parti, Azalina berkata, “pilihan raya untuk memecat wakil rakyat” membolehkan rakyat menarik balik mandat diberikan kepada wakil rakyat, jika mereka melompat parti.

Beliau menjelaskan, selepas itu pilihan raya kecil akan diadakan di kawasan terjejas bagi membolehkan rakyat memilih wakil baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.