Kes Mujahid saman Harakah, hakim cadang selesai cara baik

Kes Mujahid saman Harakah, hakim cadang selesai cara baik

Kedua-dua pihak diminta mempertimbangkan cadangan itu dan memaklumkan keputusan mereka pada 7 September ini.

Mujahid Yusof Rawa mendakwa difitnah dalam dua artikel terbitan Harakah, tahun lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen menangguhkan saman malu oleh bekas menteri Mujahid Yusof Rawa terhadap Harakah melibatkan isu usahawan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang berpakaian seperti wanita ketika menunaikan umrah.

Peguam Mujahid, Noorazmil Zakaria, berkata Hakim Zulqarain Hassan mahu kedua-dua pihak mempertimbangkan supaya menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

“Kedua-dua pihak akan memikirkan perkara itu dan kembali ke mahkamah pada 7 September untuk memaklumkan hakim mengenai keputusan kami,” katanya kepada FMT.

Perbicaraan sepatutnya bermula secara maya hari ini, dengan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sebagai saksi bagi pihak Mujahid.

Mujahid yang juga bekas menteri hal ehwal agama, memfailkan saman itu pada 12 Ogos 2020 dengan menamakan wartawan Harakah, Aziz Muda, ketua pengarangnya Wan Nordin Wan Yaacob, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai pengendali portal harakahdaily.net, dan syarikat pencetak, Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendan.

Beliau mendakwa kata-kata fitnah terhadapnya diterbitkan dalam artikel bertajuk “Sajat: Mujahid dan K’jaan PH Patut dipersalahkan” serta “Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH” antara 10 hingga 13 Februari tahun lalu.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menuntut permohonan maaf terbuka, penarikan balik artikel berkenaan serta ganti rugi.

Defendan dalam pernyataan pembelaan mereka berkata Mujahid tidak patut tersinggung dengan kritikan terhadapnya oleh orang awam terutama pengamal media berkaitan isu itu.

Defendan berkata, mereka tidak berniat jahat terhadap bekas menteri itu sebaliknya penerbitan artikel berkenaan adalah ulasan wajar.

“Defendan menegaskan mereka mempunyai kewajipan politik, moral dan sosial untuk menyampaikan pandangan berbeza rakyat dalam isu itu, kerana ia turut melibatkan konsep Rahmatan Lil Alamin dan Amar Makruf Nahi Mungkar,” kata defendan yang diwakili peguam Yusfarizal Yussoff.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.