
Dengan pertikaian dengan bekas juruauditnya, KPMG, kini di mahkamah, CEO Mohd Abdul Karim Abdullah memberitahu FMT bahawa beliau memandang ke depan dan memfokus untuk memenuhi janji memberi hasil lebih kukuh kepada para pemegang saham.
“Alhamdullilah, kami beroperasi seperti biasa dan harus muncul sebagai entiti perniagaan yang lebih baik, lebih kuat, dan lebih berdaya di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.
Awal bulan ini, syarikat itu mengumumkan kontrak asing dan tempatan baharu bernilai RM286.3 juta termasuk perjanjian dengan syarikat minyak dan gas, PT Pertamina EP, untuk kerja-kerja di Indonesia dan dengan Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd.
Karim berkata, semua kontrak ini membuktikan bahawa syarikat-syarikat di luar masih menaruh kepercayaan kepada kepakaran teknikal Serba Dinamik, malah yakin ia sedang pulih.
Beliau memberi bayangan kontrak-kontrak ini baharu permulaan.
“Kami bekerja dengan tekun dan secara agresif memantau dan membincangkan beberapa kontrak yang bernilai besar, yang kami percaya boleh dimuktamadkan sebelum tahun berakhir,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan komitmen Serba Dinamik untuk mengharungi cabaran wabak Covid-19, dan kembali mencapai sasaran pertumbuhan tahunan sebanyak 15% yang berjaya dipenuhi sebelum krisis melanda.
Katanya, syarikat beroperasi dalam banyak sektor yang dianggap sektor perlu dan dibenarkan beroperasi dalam tempoh perintah sekatan yang berkuat kuasa sekarang.
Tambahnya, Serba Dinamik mempunyai rancangan perniagaan yang mampan dan masih memenuhi tempahan dan sentiasa mencari cara kreatif dan inovatif untuk terus berkhidmat kepada pelanggan.
“Apa yang penting di sini ialah kami komited dengan jaminan dan janji yang diberi kepada pemegang saham, iaitu kami akan lakukan yang terbaik untuk memastikan syarikat terus menjana keuntungan,” katanya.
Dalam pada Serba Dinamik sedang mengusahakan perjanjian-perjanjian tempatan dan antarabangsa dan memenuhi kontrak-kontrak yang telah dipersetujui, Karim memaklumkan terdapat beberapa rakan perniagaan yang menarik diri selepas isu audit timbul.
“Saya tidak mahu menipu dengan mengatakan semuanya masih normal. Ada bank yang menarik diri. Pada masa sama, ada juga bank yang terus menyokong kami dan sudah tentu terdapat rakan perniagaan di beberapa negara lain yang masih percaya pada integriti kami dan meyakini keupayaan teknikal kami.
“Ada beberapa rakan perniagaan yang tidak gembira dan telah menghentikan kerjasama atau usaha niaga yang dipersetujui. Namun, kami dapat tanganinya dengan pilihan lain dan hasilnya, boleh dikatakan situasi dalam kawalan.”
Beliau juga berkata, langkah pempelbagaian yang diambil syarikat dalam sektor-sektor lain berjalan lancar dan ini membantu ia mengimbangi cabaran yang dihadapi.
“Komponen ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) kumpulan ini menunjukkan perkembangan baik dan seperti semua sedia maklum, dalam situasi pandemik Covid-19, teknologi baharu digunakan secara besar-besaran…jadi dalam segmen itu, kami berkembang begitu pesat.”
Pada Jun, Serba Dinamik memulakan prosiding undang-undang terhadap KPMG berhubung dakwaan kecuaian dan pelanggaran tanggungjawab-tanggungjawab kontrak dan statutori selepas firma audit terbabit membangkitkan beberapa percanggahan ketika kerja auditnya, yang mengakibatkan kerugian permodalan pasaran hingga berbilion ringgit.
Sejak itu, Serba Dinamik melantik Ernst & Young untuk melakukan penelitian khas terhadap isu dibangkitkan oleh KPMG, dan juga melantik Nexia SSY untuk menggantikan KPMG dengan matlamat untuk operasi syarikat kembali normal.