Bekas Yang di-Pertua Sabah, Sakaran meninggal dunia

Bekas Yang di-Pertua Sabah, Sakaran meninggal dunia

Nasir Sakaran berkata jenazah bapanya akan diuruskan di Masjid Negeri dan akan dimakamkan di Makam Pahlawan.

Sakaran Dandai dilantik sebagai Yang di-Pertua Sabah dari 1995 hingga 2002 selepas menjadi ketua menteri dari Mac hingga Disember 1994. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Sakaran Dandai meninggal dunia pada jam 6 pagi tadi menurut anak ketiganya, Nasir Sakaran yang mengesahkan berita pemergian ayahnya itu.

“Ya benar ayah kami sudah meninggal dunia pagi ini. Pihak hospital baharu sahaja menghubungi pihak keluarga sebentar tadi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Nasir berkata, jenazah bapanya akan diuruskan di Masjid Negeri dan dimakamkan di Makam Pahlawan.

Terdahulu, FMT melaporkan bekas Yang di-Pertua Sabah itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Sabah selepas dijangkiti Covid-19.

Anaknya Nasir berkata, Sakaran dimasukkan ke Hospital Gleneagles pada Rabu minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menyifatkan pemergian Sakaran sebagai kehilangan negarawan yang sangat berjasa.

“Jasa dan pengorbanan Almarhum Tun amat signifikan dan besar maknanya buat tanah air tercinta. Legasi perjuangan negarawan ini akan tetap terpahat kukuh dan dikenang selamanya.

“Saya mengajak rakyat Sabah untuk bersama mendoakan semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan mendapat darjat sebaik-baiknya di sisi Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sakaran, 91, pernah menjadi ketua menteri dari Mac hingga Disember 1994 dan Yang di-Pertua Negeri kelapan dari 1995 hingga 2002.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Semporna pada 1986 hingga 1995 dan ADUN Senallang mewakili USNO serta kemudian Umno sebelum bersara daripada politik apabila dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.