
Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, sembilan individu berkenaan masuk ke kawasan lombong terbabit untuk memancing dan tidak dapat keluar dari situ selepas laluan masuk ke lokasi berkenaan dinaiki air setinggi kira-kira tiga meter.
Katanya, semua sembilan mangsa itu bagaimanapun selamat dan dibawa keluar dalam operasi menyelamat yang bermula jam 8 malam tadi.
Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan pada 7.28 malam sebelum enam anggota dari Balai Bomba Penyelamat KLIA bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Laporan mendapati ada sembilan orang awam yang pergi memancing di kawasan lombong telah terperangkap akibat laluan masuk dinaiki air kira-kira tiga meter,” katanya dalam satu kenyataan.
Norazam berkata, pihaknya dengan bantuan Orang Asli tiba ke lokasi melalui akses berlainan dan semua mangsa didapati selamat.
“Mangsa terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an hingga 40-an serta seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun,” tambah beliau.