
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.28 malam, dan memulakan operasi menyelamat sekitar 20 minit kemudian. Semua mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan sekitar 10.27 malam, menurut laporan Bernama.
Menurutnya, semua mangsa rakyat tempatan termasuk kanak-kanak berumur 11 tahun itu mungkin tidak menyedari air naik sehingga 3m di kawasan mereka memancing akibat hujan hingga menyebabkan mereka terperangkap.
“Mereka panik semasa hendak keluar meninggalkan kawasan itu dan membuat panggilan kecemasan (kepada bomba dan penyelamat) untuk bantuan,” katanya.
Menurutnya, mangsa bukan penduduk Dengkil dan ada yang datang dari Cyberjaya.
Hafisham berkata, anggota bomba dan penyelamat berjaya membawa mangsa keluar melalui laluan alternatif dan membawa mereka ke Pos Kawalan Bomba (PKB) sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Mangsa, Zairul Nizam Shaari yang membuat panggilan kecemasan kepada pihak bomba dan penyelamat berkata mereka berada di kawasan lombong berkenaan sejak 6 pagi dalam kumpulan berasingan untuk memancing.
“Hujan lebat mula turun tiga, empat jam sejak 7 pagi dan air naik tiba-tiba. Masing-masing cari tempat tinggi untuk selamatkan diri. Kami terkandas dalam kebun sawit sehingga bomba selamatkan kami,” katanya yang pertama kali cuba memancing di kawasan itu.