
Pegawai Khas kepada Lajim, Ismail Norazman berkata Lajim menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu dan jenazah akan dibawa ke kampung halamannya di Kampung Kebatu, Beaufort untuk dikebumikan.
“Khabar sedih dan dukacita. Lajim Haji Ukin telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi ini di hospital pakar KPJ. Jenazah beliau akan dibawa ke kampung halaman beliau di Kg Kebatu, Beaufort untuk disemadikan.
“Terima kasih untuk segala doa kalian, semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan hambaNya yang soleh di sisiNya kelak, diampunkan segala dosa dan diterima segala amal kebaikannya di dunia, al-Fatihah,” katanya di Facebook.
Lajim disahkan positif Covid-19 sejak 12 Ogos lalu dan dimasukkan ke hospital swasta bermula 13 Ogos. Namun, keadaan kesihatan beliau semakin merosot dan ditidurkan bermula Selasa lalu.
Beliau ialah pengarah strategik dan pilihan raya Bersatu Sabah. Beliau pernah menjadi ADUN Klias dan memegang beberapa jawatan dalam Kabinet di peringkat persekutuan dan negeri ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN).