Konon nak diberi gelaran ‘Datuk Seri’, pengarah syarikat rugi lebih RM400,000

Konon nak diberi gelaran ‘Datuk Seri’, pengarah syarikat rugi lebih RM400,000

Pengarah syarikat berusia 33 tahun itu kerugian RM406,400 selepas terpedaya dalam urusan mendapatkan gelaran 'Datuk Seri' dan sebidang tanah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Mahidisham Ishak berkata, pada 28 Mac lalu, pengadu berusia 33 tahun itu dimaklumkan menerusi panggilan bahawa Istana Negara akan mengurniakan anugerah Seri Utama Mahkota Wilayah, yang membawa gelaran “Datuk Seri” dan sebidang tanah kurnia seluas lima ekar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pengarah syarikat kerugian RM406,400 selepas terpedaya dalam urusan mendapatkan gelaran “Datuk Seri”.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Mahidisham Ishak berkata, pada 28 Mac lalu, pengadu berusia 33 tahun itu dimaklumkan menerusi panggilan bahawa Istana Negara akan mengurniakan anugerah Seri Utama Mahkota Wilayah, yang membawa gelaran “Datuk Seri” dan sebidang tanah kurnia seluas lima ekar.

Pada hari yang sama, katanya, pengadu menyerahkan salinan maklumat butiran syarikat dan butiran peribadi kepada individu tersebut di sebuah restoran berhampiran Pintu 2 Istana Negara.

“Pada 6 April, pengadu diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM9,400 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

“Antara 30 April hingga 17 Jun, pengadu melakukan empat transaksi bayaran berjumlah RM247,000 ke satu akaun lain yang juga diberikan oleh suspek, selain menyerahkan wang tunai berjumlah RM150,000 kepada suspek,” katanya dalam kenyataan.

Mahidisham berkata, selepas bayaran dibuat, pengadu mengesyaki sesuatu tidak kena dan merasa tertipu setelah semakan yang dibuat ke atas akaun berkenaan mendapati ia atas nama syarikat yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Menurut Mahidisham, polis sedang mengesan tiga suspek lelaki berhubung kes berkenaan.

“Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan menggunakan saluran yang betul dalam urusan mendapatkan anugerah atau gelaran.

“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan tanpa memeriksa transaksi pembayaran yang dibuat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.