Dasar PBT P Pinang perlu lebih adil, seimbang, Reezal diberitahu

Dasar PBT P Pinang perlu lebih adil, seimbang, Reezal diberitahu

Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR) memohon Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican memastikan kepentingan masyarakat bumiputera diambil kira.

Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR) berkata kawasan yang telah digazetkan sebagai kawasan sawah padi dan hijau tidak dibiarkan dizonkan semula sebagai kawasan pembangunan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR) menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baru dilantik iaitu Reezal Merican Naina Merican memastikan dasar pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) Pulau Pinang adalah adil dan seimbang.

Pengerusinya, Muhamad Farid Saad berkata sehubungan itu, pihaknya memohon kepada Reezal Merican yang merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas, untuk memastikan kepentingan masyarakat bumiputera juga diambil kira.

Farid berpendapat program termasuk isu berkaitan pemilikan rumah bumiputera dan kesan daripada program Malaysia My Second Home (MM2H) perlu diperketatkan lagi syaratnya demi kepentingan semua pihak.

Beliau berkata teknologi seperti Sistem Bangunan Industri (IBS) dan inisiatif pemilikan perumahan kepada bumiputera di Pulau Pinang terutama bagi golongan belia, harus ditambah baik selari dengan Dasar Perumahan Negara.

Katanya, Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya.

“Sehubungan dengan itu, kawasan kampung seharusnya dilengkapkan dengan kemudahan prasarana lengkap, moden dan mencukupi sepertimana kawasan bandar George Town tanpa mengganggu kedamaian kampung tradisi.

“Kawasan yang telah digazetkan sebagai kawasan sawah padi dan hijau tidak dibiarkan dizonkan semula sebagai kawasan pembangunan sewenangnya mengikut kehendak pemaju tanpa memikirkan kelangsungan kehidupan di sana,” katanya.

Katanya, PEMIKIR sedia bekerjasama dengan kementerian itu dalam menjayakan program perumahan, kerajaan tempatan, pembangunan dan perancangan bandar, kesejahteraan bandar, bomba dan penyelamatan, pengurusan sisa pepejal dan pembangunan landskap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.