Bicara 2 rakyat Malaysia di Guantanamo bermula esok

Bicara 2 rakyat Malaysia di Guantanamo bermula esok

Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo di Cuba sejak 2006.

Mohammed Nazir Lep (kiri) dan Mohammed Farik Amin akhirnya dihadapkan ke mahkamah setelah ditahan selama 14 tahun oleh kerajaan AS.
PETALING JAYA:
Dua suspek pengganas Malaysia akan dihadapkan ke mahkamah esok atas tuduhan berkaitan pengeboman maut di Indonesia lebih 19 tahun lalu.

Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo di Cuba sejak 2006, bersama warga Indonesia, Encep Nurjaman, juga dikenali sebagai Hambali, yang dikatakan menjadi dalang.

Menurut Pejabat Suruhanjaya Tentera Amerika Syarikat, ketiga-tiga suspek dijadualkan dihadapkan ke mahkamah tentera di pangkalan tentera laut AS itu pada Februari, tetapi tarikh mahkamah ditangguhkan disebabkan wabak Covid-19.

Kertas pertuduhan yang dimuat naik oleh pejabat itu menyatakan Nazir dan Farik berdepan sembilan tuduhan, manakala Hambali lapan tuduhan berhubung peranan mereka dalam serangan pengganas di Bali (2002) dan Jakarta (2003).

Semua suspek didakwa atas tuduhan konspirasi, percubaan membunuh, membunuh, dengan sengaja menyebabkan kecederaan badan yang serius, keganasan, pemusnahan harta benda, menyerang orang awam dan objek awam.

Pihak berkuasa dilaporkan berkata, semua tuduhan tersebut tidak membawa hukuman mati.

Pada 2003, ketiga-tiganya diberkas di Thailand dan dihantar ke jaringan penjara CIA sebelum dipindahkan ke Guantanamo pada September 2006.

Menurut laporan, suspek disyaki mempunyai kaitan dengan pengeboman di Bali pada November 2002, di mana 202 orang terkorban, dan serangan pada Ogos 2003 di JW Marriott Hotel di Jakarta, yang mengorbankan 12 orang.

Rakyat Malaysia berkenaan juga terlibat dalam rancangan al-Qaeda untuk merempuhkan pesawat yang dirampas ke Menara Perpustakaan / Menara Bank AS 73 tingkat di Los Angeles.

Mereka ditahan di Camp Delta di Teluk Guantanamo, Cuba, oleh AS.

Hambali sebelum ini digambarkan sebagai “dalang operasi untuk Jemaah Islamiyah, sebuah kumpulan militan Asia Tenggara yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.”

Dia antara individu bertanggungjawab atas serangan pengganas di AS pada 11 Sept 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.