5 ‘kupu-kupu malam’ aktif mencari pelanggan di WeChat dicekup

5 ‘kupu-kupu malam’ aktif mencari pelanggan di WeChat dicekup

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai, berkata sindiket pelacuran beroperasi di pangsapuri persendirian di Taman Usahawan Kepong, digempur semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai, berkata semua warga asing yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 42 tahun dan disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) yang turut menawarkan perkhidmatan seks. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan lima warga negara asing yang menjadikan aplikasi WeChat sebagai medium mempromosi aktiviti persundalan dalam satu serbuan di pangsapuri persendirian di Taman Usahawan Kepong, digempur polis, semalam.

Difahamkan, sindiket baharu beroperasi sejak dua hari lalu itu, menawarkan perkhidmatan seks menerusi aplikasi berkenaan dengan bayaran sebanyak RM160 dan menjadikan pangsapuri berkenaan sebagai sarang pelacuran.

Serbuan pada pukul 4.50 petang itu telah dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai, berkata semua warga asing yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 42 tahun dan disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) yang turut menawarkan perkhidmatan seks.

“Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun yang dipercayai pelanggan di premis berkenaan.

“Pemilik kediaman tersebut juga sedang dikesan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Beh berkata polis turut berjaya merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan tersebut seperti tuala mandi, minyak urut, kondom dan kad akses.

“Kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini hingga Sabtu depan kerana kes masih belum selesai.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak terlibat dalam aktiviti kurang sihat ini atau tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil,” tegasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.