
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kartini Aboo Talib berkata pengekalan sebilangan besar muka lama adalah praktikal untuk membolehkan menteri sedia ada meneruskan tugas dan mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) masing-masing dalam tempoh 100 hari ini.
“Barisan Jemaah Menteri yang diumumkan lebih 80% adalah menteri-menteri yang dikekalkan. Manakala baki 20% adalah orang lama yang dibawa masuk kembali ke Jemaah Menteri seperti Shahidan Kassim dan Noh Omar.
Antara menteri daripada pentadbiran Muhyiddin Yassin yang dikekalkan Ismail adalah Mohamed Azmin Ali, Hishammuddin Hussein, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Radzi Jidin, Noraini Ahmad, Halimah Sadique dan Rina Harun.
“Jika diganti semua anggota Jemaah Menteri dengan muka baharu, akan berlaku kekakuan kerana menteri baru nak kena belajar selok belok pentadbiran baru, pekeliling kerajaan, jawatankuasa teknikal, peraturan dan sebagainya,” kata Kartini kepada FMT.
Kartini menambah ia akan mengambil masa dan menghambat usaha untuk melaksana Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, bukan soal saiz yang perlu diberi perhatian, tetapi pencapaian setiap menteri untuk melaksanakan objektif kementerian masing-masing yang terasnya adalah khidmat untuk rakyat.
“Dalam maksud Keluarga Malaysia, Jemaah Menteri yang ada telah menonjolkan aspek inklusif parti-parti yang membentuk pentadbiran baharu ini,” katanya.
Semalam, Ismail menamakan anggota Jemaah Menterinya, termasuk empat menteri kanan iaitu Hishammuddin Hussein (Umno), Azmin Ali (Bersatu), Radzi Jidin (Bersatu), dan Fadillah Yusof (Gabungan Parti Sarawak).
Tiada pelantikan timbalan perdana menteri, sekali gus ‘mematikan’ spekulasi seorang pemimpin Bersatu akan mengisi jawatan itu.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Bilcher Bala berkata tindakan Ismail mengekalkan sebilangan besar ahli Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin adalah untuk tidak mencetuskan kontroversi baru.
“Kekalkan orang yang sama dalam Jemaah Menteri Muhyiddin supaya tidak besar isu.
“Mungkin perjanjian perdana menteri lama dan perdana menteri baru supaya tidak menjejaskan hubungan Umno dan Bersatu,” katanya.
Penganalisis Politik UiTM Mujibu Abd Muis berkata Ismail mungkin melihat perlunya mengekalkan kestabilan politik dalam gabungan pelbagai parti yang masih mempunyai majoriti rapuh di Parlimen, justeru mengekalkan ramai muka lama.
Beliau juga berkata perubahan drastik kepada komposisi Jemaah Menteri boleh menjejaskan kesinambungan dasar-dasar yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Beliau berkata Jemaah Menteri baharu itu perlu mempamerkan kesungguhan menangani masalah ekonomi dan kesihatan awam yang mencengkam rakyat sejak tahun lalu.
“Masa yang singkat, 100 hari (menteri-menteri) mesti ‘deliver’ dengan mandat yang masih ada (kerana) cuma tinggal kurang 2 tahun sebelum PRU15 perlu dilakukan.
“Cabaran Jemaah Menteri baharu bukan sahaja perlu ‘deliver’ segera untuk Covid-19 dan membetulkan ekonomi, tetapi menggunakan peluang kedua ini untuk membina kembali reputasi dan kepercayaan rakyat kepada mereka selepas 17 bulan dilihat gagal.
“Harap tidak ada lagi #kerajaangagallagi selepas #kerajaangagal sebelumnya,” katanya.