
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abdul Kadir berkata, sebagai sebuah negara Islam yang berwibawa dan berkecuali, Malaysia mempunyai pengaruh tersendiri untuk membangunkan konsensus OIC dalam perkara berkaitan dengan masa depan Afghanistan.
“BN juga menyeru agar kerajaan berhubung dengan perwakilan Taliban di Doha, Qatar untuk membangunkan komunikasi awal.
“Ini perlu dilakukan hanya dengan satu tujuan, iaitu memudahkan penyelarasan bantuan kemanusiaan antarabangsa disalurkan kepada penduduk Afghanistan, jika keadaan mendesak dan memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Zambry berkata, BN berpendirian bahawa sebarang pengiktirafan ke atas Taliban hanya boleh dipertimbangkan selari dengan pendirian masyarakat antarabangsa.
“Kerajaan Malaysia haruslah mengikut lunas dan prinsip hubungan antarabangsa yang kita pegang selama ini dalam mengiktiraf mana-mana kerajaan atau rejim. Tidak ada pengecualian istimewa dalam kes Taliban,” katanya.
Beliau turut berpandangan Afghanistan ditinggalkan dalam keadaan tidak terancang oleh tentera Amerika Syarikat dan kegagalan kerajaan negara itu mempertahankan kedudukannya meletakkan keadaan keselamatan Afghanistan semakin rapuh dan terjejas.
Katanya, BN menyatakan kerisauan terhadap krisis di negara Islam yang semakin serius dan akan memuncak dalam sedikit masa lagi.
“Semoga keadaan keselamatan di Afghanistan pulih kembali dan negara tersebut berpeluang membangun dengan aman dan sejahtera semula,” katanya.
Pada 17 Ogos, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid dilaporkan mengucapkan tahniah kepada rakyat Afghanistan atas kemenangan tentera Taliban menguasai negara itu dan ibu kota Kabul.
Kemerdekaan setelah 20 tahun negara itu ditakluk AS digambarkannya sebagai perjuangan, dengan menekankan bahawa Taliban tidak mahu mencari musuh atau mencetuskan konflik.
Beliau turut mengumumkan gerakan itu akan membentuk pemerintahan Islam yang inklusif, melindungi hak wanita menurut undang-undang Islam dan berjanji tidak akan membalas dendam terhadap golongan media atau rakyat Afghanistan yang bekerja dengan pasukan asing dan organisasi antarabangsa.
Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani pada 15 Ogos lalu mengumumkan untuk meninggalkan negara itu setelah gerakan Taliban berjaya memasuki ibu kota Kabul.