Abang Jo jamin Covid-19 terkawal walaupun varian delta makin dominan di Sarawak

Abang Jo jamin Covid-19 terkawal walaupun varian delta makin dominan di Sarawak

Ketua Menteri Sarawak berkata, banyak dibantu oleh program vaksinasi yang kini telah mencapai 85 peratus bagi Sarawak setakat ini.

Petugas Jabatan Kesihatan Sarawak, Bahtiar Sulaiman (kanan) memberi penerangan kepada seorang warga emas untuk mendapatkan borang perintah kuarantin kontak rapat ketika tinjauan di lokasi parkir berhampiran Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kes jangkitan Covid-19 di Sarawak masih dalam keadaan terkawal, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Jelasnya, hal ini banyak dibantu oleh program vaksinasi yang kini telah mencapai 85 peratus bagi Sarawak setakat ini, katanya memetik laporan Utusan Borneo.

“Ini adalah kesan positif daripada program vaksinasi yang telah kita jalankan selama ini.

“Walaupun terdapat peningkatan kes, ia hanya terdiri daripada kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala langsung atau sedikit bergejala sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kampus CENTEXS Mukah hari ini

Abang Johari berkata, jika ia kategori satu atau dua, pesakit positif hanya akan diberikan arahan kuarantin di rumah sahaja sehingga sembuh.

Sementara itu Berita Harian melaporkan, Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) David Perera berkata, Delta kini menjadi varian dominan menjangkiti pesakit Covid-19 di Sarawak.

Katanya, pihaknya membuat penjujukan genom terhadap 220 kes positif pada 17 Ogos lalu dan daripada jumlah itu, sebanyak 179 varian membimbangkan (VOC) dan varian yang diberi tumpuan (VOI) dikesan.

“Daripada jumlah VIC dan VOI itu pula, sebanyak 178 adalah varian Delta (B.1.617.2) dan satu kes VOI Indonesia.

“Hampir semua kes jangkitan di Bahagian Kuching adalah varian Delta iaitu 68 daripada 69 kes,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.