
“Saya lihat Annuar Musa dan Ku Nan telah buat terbaik untuk Wilayah…dan saya hadapi masalah bagaimana saya mampu buat kalau tak boleh terbaik pun sekurang-kurangnya sama.
“Mereka dah set ‘high standard’ untuk Wilayah… saya akan pastikan (beri khidmat) sama rata atau saya boleh buat lebih baik,” katanya kepada FMT.
Mengenai persepsi Jemaah Menteri “kitar semula”, Ahli Parlimen Arau itu berkata, tempoh perkhidmatan seharusnya tidak menjadi isu besar sebaliknya khidmat bakti yang boleh disumbangkan oleh wakil rakyat yang dipilih menganggotai Jemaah Menteri.
“Kalau baru pun, kalau tak boleh bagi sumbangan tak dapat apa. Dengan pengalaman yang saya ada, saya akan beri yang terbaik untuk negara dan rakyat,” katanya.
Shahidan yang sebelum ini pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) era pentadbiran Muhyiddin Yassin dilantik menggantikan Annuar yang bertukar portfolio sebagai menteri komunikasi dan multimedia.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar menyifatkan pelantikan beliau ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ibarat sirih pulang ke gagang.
Beliau berkata, tanggungjawab baharu itu juga adalah kesinambungan tugasnya sebagai pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dalam membantu usahawan Bumiputera.
“Pelantikan ini ibarat sirih pulang ke gagang kerana saya pernah memegang jawatan sama ketika pemerintahan Tun Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi).
“Ini adalah satu amanah yang wajib saya tunaikan terutama sekali pada saat ramai usahawan terkesan dengan kejatuhan ekonomi akibat daripada wabak Covid-19,” katanya.
Beliau berpengalaman menerajui kementerian itu antara 18 Mac 2008 hingga 9 April 2009 ketika di bawah pentadbiran perdana menteri kelima.