
Noh perlu melakarkan dasar dan garis panduan jelas untuk PKS dalam membuat persediaan menghadapi ekonomi pascapandemik, kata Pengerusi Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng.
Noh diumumkan mengetuai kementerian itu oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi – jawatan yang pernah disandang Ahli Parlimen Tanjung Karang itu selama setahun pada 2008 di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
Noh kemudian mengambil alih portfolio pertanian dan industri asas tani di bawah pentadbiran Najib Razak sehingga pilihan raya umum 2013.
Bercakap kepada FMT, Ng berkata, Noh perlu memfokuskan terhadap membuka semula ekonomi secara selamat supaya PKS mampu terus ‘hidup,’ selain merancang arah tuju pascapandemik untuk komuniti keusahawanan.
“Pasaran telah berubah dengan signifikan sejak wabak bermula, dan kemahiran serta alat diperlukan untuk berjaya dalam perniagaan juga telah berubah,” katanya.
“Jadi keutamaan kementerian mestilah untuk menyediakan dasar dan garis panduan jelas supaya PKS bersedia menghadapi ekonomi pascapandemik.
Kira-kira 1.1 juta PKS di negara ini adalah tulang belakang ekonomi dan mewakili kira-kira 97% semua perniagaan di Malaysia. Ia turut menyumbang kira-kira 38% keluaran dalam negara kasar Malaysia, tahun lalu.
Bagaimanapun, golongan itu terkesan teruk akibat pelbagai sekatan termasuk melibatkan pergerakan sepanjang wabak, dengan kira-kira 100,000 syarikat gulung tikar sejak perintah kawalan pergerakan pertama, kata Samenta.
Bulan lalu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjangkakan 49% PKS mikro mungkin mengalami kehancuran pada Oktober jika sekatan pergerakan terus dilanjutkan, berdasarkan kajian terhadap 580,000 perniagaan.
Menterinya ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyifatkannya sebagai hakikat memeritkan berkata, lebih tujuh juta rakyat Malaysia akan hilang kerja sekiranya perniagaan berkenaan ditutup.
Kementerian itu turut berkata sektor PKS mengalami kerugian RM40.7 bilion tahun lalu akibat pelbagai perintah sekatan.
Sementara itu, Presiden Samenta Michael Kang menggesa supaya Noh memfokuskan terhadap mempercepatkan pemulihan PKS dan memikirkan dasar yang mampu mewujudkan kecairan dalam pasaran.
“PKS terjejas teruk. Banyak keluarga kini tidak mampu makan kerana ramai yang telah hilang kerja, jadi kerajaan perlu memikirkan bantuan segera,” katanya.
“Saya rasa amat membantu jika menteri turun padang untuk melawat PKS dan memastikan masalah dihadapi mereka serta cara menyelesaikannya.”