Gugur menteri gagal bukti prestasi tinggi selepas 100 hari, saran Najib

Gugur menteri gagal bukti prestasi tinggi selepas 100 hari, saran Najib

Walaupun hanya terdapat perubahan kecil dalam Jemaah Menteri, bekas perdana menteri itu yakin dasar MKN untuk mengawal Covid-19 akan berubah sejajar pertukaran ketuanya.

Najib Razak berikrar akan membantu Jemaah Menteri baharu dalam usaha memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata Jemaah Menteri baharu harus bertunjangkan hasil dan pencapaian dalam usaha memulihkan negara.

Oleh itu, katanya, jika ahli Jemaah Menteri gagal membuktikan prestasi tinggi dan kemampuan selepas 100 hari, mereka perlu digugurkan.

Beliau turut berikrar akan membantu Jemaah Menteri baharu dalam usaha memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Harapan saya satu sahaja, Kabinet hari ini perlu berdasarkan hasil dan pencapaian. The countdown to 100 days begins now (Kiraan 100 hari bermula sekarang),” katanya dalam catatan Facebook.

Walaupun hanya terdapat perubahan kecil dalam Jemaah Menteri pimpinan Ismail Sabri Yaakob, Najib yakin dasar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mengawal penularan Covid-19 akan berubah sejajar pertukaran ketuanya.

“Dan jika ada yang masih mahu buka pintu belakang, ketua MKN baharu yang mempunyai hak serta kuasa bagi keputusan terakhir pelaksanaan dasar akan menghalangnya.”

Dalam pada itu, Najib kurang bersetuju dengan pandangan Jemaah Menteri baharu itu dikitar semula.

“Saya perhati ramai yang kecewa dengan pengumuman Kabinet baharu hari ini. Seolah-olah kebanyakan menteri dan timbalan menteri adalah orang yang sama dan ini adalah Kabinet ‘recycle’.

“Pun begitu, sebenarnya hampir separuh kementerian kerajaan telah bertukar pemimpin. Menteri bagi agama, undang-undang dan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri turut bertukar,” katanya yang menyenaraikan pertukaran di 11 kementerian.

Ia membabitkan Kementerian Luar Negeri (Saifuddin Abdullah), Kesihatan (Khairy Jamaluddin), Pertahanan (Hishammuddin Hussein), Sains, Teknologi dan Inovasi (Dr Adham Baba), Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Reezal Merican Naina Merican), Komunikasi dan Multimedia (Annuar Musa), Wilayah Persekutuan (Shahidan Kassim), Tenaga dan Sumber Asli (Takiyuddin Hassan), Pembangunan Luar Bandar (Mahdzir Khalid), Belia dan Sukan (Ahmad Faizal Azumu) serta Usahawan dan Koperasi (Noh Omar).

Terdahulu, Ismail ketika mengumumkan barisan Jemaah Menterinya berkata, beliau memberi tempoh 100 hari kepada 31 menteri dan 38 timbalan menteri untuk membuktikan prestasi awal setiap kementerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.