Bangkit bersuara, kami sedia mendengar, NaSA beritahu pelajar

Bangkit bersuara, kami sedia mendengar, NaSA beritahu pelajar

Bengkel Advokasi Mahasiswa Kebangsaan (NaSA) pada 4 Sept ini turut menampilkan perbincangan panel mengenai advokasi dan kepentingan suara pelajar.

Bengkel Advokasi Mahasiswa Kebangsaan (NaSA) yang akan diadakan pada 4 Sept ini terbuka kepada mahasiswa dan pemimpin pelajar.
PETALING JAYA:
Di sebalik batasan akibat pandemik, tahun lalu menyaksikan pembentukan beberapa gerakan pelajar dan tekanan semakin meningkat untuk suara pelajar didengari.

Ramai yang mendapat perhatian negara dengan membantah pembukaan semula sekolah pada Januari lalu dengan tanda pagar #SuaraPelajar di Twitter, manakala video seorang pelajar mengenai gurauan rogol tidak wajar oleh guru dalam kelas mencetuskan gesaan untuk menjadikan sekolah di Malaysia sebagai tempat selamat.

Susulan kebangkitan aktivisme pelajar, Bengkel Advokasi Mahasiswa Kebangsaan (NaSA) pada 4 Sept ini akan menguatkan suara pelajar untuk membawa perubahan secara berkesan terhadap perkara yang penting bagi mereka.

Bengkel maya itu bertujuan membina sokongan dalam kalangan pemimpin pelajar untuk penubuhan kesatuan pelajar bebas dan reformasi mengenai kebebasan bersuara serta berpersatuan.

Terbuka kepada semua mahasiswa dan pemimpin pelajar, NaSA akan memfokuskan pembinaan keupayaan dan latihan dalam pengurusan organisasi pelajar.

Ia turut menampilkan perbincangan panel mengenai advokasi dan kepentingan suara pelajar dengan beberapa ahli panel berpengalaman seperti presiden Persatuan Pengajian Tinggi Malaysia dan pelajar London School of Economics tajaan Chevening, Ooi Tze Howe.

Ahli panel lain termasuk penyelidik Majlis Belia Malaysia, Syafiqah Abdul Rahim; pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia, Mohd Faridh Hafez Mhd Omar dan bekas ahli jawatankuasa eksekutif Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Idayu Mumtaz Iskandar.

Mereka yang berminat boleh mendaftar untuk bengkel itu di sini.

Pelajar juga boleh menantikan National Students’ Leadership Conference (NaSLeC) 2021 pada 11 Sept ini.

Melengkapkan pelajar dengan platform dan kemahiran berfikir secara kritis untuk mendorong reformasi, NaSLeC 2021 akan menampilkan perbincangan mengenai undang-undang dan dasar negara yang dikaitkan kepada pengajian tinggi.

Walaupun fokusnya untuk menyokong pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, NaSLeC 2021 akan membolehkan peserta berinteraksi dan membincangkan topik utama seperti kebolehgajian, kualiti pendidikan, kebajikan pelajar dan kesihatan mental.

Mereka yang berminat menyertai persidangan itu boleh mendaftar di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.