Bakar baju dalam rumah, warga emas nyaris maut

Bakar baju dalam rumah, warga emas nyaris maut

Wanita berusia 77 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian kerana mengalami tekanan.

Kebakaran tersebut mengakibatkan 50% kemusnahan terhadap unit flat tingkat tiga yang didiami warga emas itu.
PETALING JAYA:
Akibat membakar bajunya di dalam bilik, seorang warga emas nyaris maut apabila kebakaran merebak di rumahnya di Blok Bakau Street, Solok Sungai Pinang, Pulau Pinang, malam tadi.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.40 malam, menurut Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Fadzil Mohamad.

Apabila tiba di lokasi, pihak bomba mendapati kepulan asap tebal keluar dari tingkap bilik rumah mangsa di tingkat tiga dan asap yang memenuhi ruang rumah menyukarkan usaha menyelamat mangsa.

Setelah diselamatkan, mangsa yang berada dalam keadaan lemah akibat terhidu asap dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut, menurut laporan Harian Metro.

“Api berjaya dikawal pada 11 malam dan kebakaran itu membabitkan 50% kemusnahan,” kata Fadzil.

Wanita berusia 77 tahun yang tinggal bersendirian itu dipercayai bertindak membakar bajunya kerana mengalami tekanan, menurut Fadzil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.