Sabah digesa cuba guna ‘konsep gelembung’ dalam sidang DUN

Sabah digesa cuba guna ‘konsep gelembung’ dalam sidang DUN

Ahli akademik berpendapat ia boleh dipertimbangkan dengan menjadikan sidang DUN Perak sebagai contoh dan penanda aras.

Persidangan DUN Sabah yang sepatutnya dijadualkan minggu ini ditangguhkan ke 21 hingga 23 Sept depan. (Gambar Bernama).
KOTA KINABALU:
Seorang ahli akademik mencadangkan supaya kerajaan negeri Sabah mencontohi Perak dengan menggunakan “konsep gelembung” bagi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka.

Pensyarah kanan UiTM Sabah Tony Paridi Bagang berkata, negeri itu akan dilihat mengambil langkah proaktif dalam memastikan tiada lagi penangguhan prosiding sidang berkenaan.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang DUN Sabah ke-16 yang sepatutnya diadakan selama tiga hari pada 24 Ogos telah ditangguhkan ke 21 September hingga 23 September.

Bagang berkata, matlamat utama “konsep gelembung” adalah bagi membolehkan persidangan diadakan dalam persekitaran yang selamat dan meletakkan kesihatan dan keselamatan ADUN sebagai keutamaan.

Tony Paridi Bagang.

“Ia adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan negeri Sabah. Namun ia tidak pernah dilakukan sebelum ini sebab itu sidang DUN Perak boleh menjadi penanda aras,” katanya kepada FMT.

“Konsep gelembung” yang dilakukan kerajaan negeri Perak bagi mengadakan sidang DUN yang bermula semalam membabitkan empat elemen, iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terbabit dalam persidangan.

Antara lain, ADUN perlu menginap di sebuah hotel di Ipoh dengan menggunakan kemudahan pengangkutan yang disediakan untuk pergi balik dari sidang DUN sepanjang tempoh ditetapkan.

Sebarang pergerakan menggunakan kenderaan persendirian atau perkhidmatan e-panggilan adalah dilarang.

Bagang berkata, bagaimanapun sekiranya Sabah memutuskan untuk menggunakan konsep itu, lebih banyak persiapan diperlukan kerana ia membabitkan empat elemen penting.

“Sebagai contoh, bilangan hari persidangan. Jika terlalu panjang, ia boleh menyebabkan stres kerana perlu berada di hotel seolah-olah seperti dikuarantin.

“Ia juga bergantung kepada kesediaan ADUN untuk menerima konsep ini.

Lee Kuok Tiung.

“Walaupun begitu, pendekatan itu patut dicuba. Sekiranya ia efektif, ia boleh menjadi contoh kepada beberapa negeri lain juga,” katanya.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung, meragui sama ada konsep itu akan berjaya kerana tidak seperti Perak, Sabah adalah negeri yang besar.

“Kebanyakan daripada mereka memang akan tinggal di hotel melainkan jika mempunyai kediaman di Kota Kinabalu. Bagi mereka pergerakan membabitkan rentas negeri,” katanya.

“Bagaimana anda mahu memastikan mereka tidak bertemu orang lain dalam tempoh itu?

“Apabila bercakap mengenai mesyuarat sidang DUN atau Parlimen, ia bukan hanya mengenai ADUN atau Ahli Parlimen, tetapi semua setiausaha politik, kakitangan DUN dan Parlimen juga.

Dr Kew Seih Teck.

“Adakah mereka juga akan ‘dikuarantin’ di hotel atau pulang ke rumah seperti biasa selepas tamat waktu bekerja?” soalnya.

Dr Kew Seih Teck, seorang perunding pediatrik di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sabah bersetuju bahawa ia akan menimbulkan masalah untuk mengurus semua yang datang dari pelbagai kawasan di negeri itu.

“Kebanyakan mereka akan datang melalui jalan darat, ada menggunakan laluan udara dan ia bukan mudah berbanding di Perak.

“Jika anda boleh mengawal pergerakan seseorang, anda boleh mengurangkan jangkitan dan membuat ujian lanjut selepas itu. Ia boleh memperketatkan kawalan dan diharapkan ia boleh mengurangkan jangkitan dalam kalangan mereka yang hadir mesyuarat.

“Angka kes Covid-19 meningkat di Sabah dan ramai dalam komuniti kita boleh dijangkiti. Jadi, amat penting untuk memastikan mereka semua lengkap dua dos vaksin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.