PM, PH capai konsensus untuk ‘Malaysia lebih baik’

PM, PH capai konsensus untuk ‘Malaysia lebih baik’

Menurut sumber, antara konsensus yang dicapai adalah pembaharuan institusi, termasuk larangan melompat parti.

Menurut sumber, pertemuan tiga pemimpin utama Pakatan Harapan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mencapai konsensus untuk ‘Malaysia yang lebih baik’.
PETALING JAYA:
Pembaharuan institusi, terutama larangan lompat parti adalah persetujuan konsensus yang dicapai Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) semalam, menurut sumber.

“Ia adalah untuk Malaysia yang lebih baik. Lompat parti merosakkan negara, jika ia dibenarkan berterusan berlaku, rakyat akan hilang keyakinan terhadap sistem dan tidak mengundi,” menurut sumber yang tidak mahu dinamakan.

Sumber itu berkata, kenyataan bersama yang ditandatangani Ismail, Presiden PKR Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu semalam adalah “satu sejarah” dan akan memastikan kestabilan politik pada waktu sukar ini.

Dalam kenyataan itu, pemimpin politik terbabit berkata, mereka mencapai konsensus bagi mengukuhkan fungsi Parlimen sebagai semak dan imbang di peringkat eksekutif.

Menurut kenyataan itu juga, mereka bersetuju dan memahami kepentingan kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

“Terdapat pembaharuan institusi lain dan ini akan dikongsi apabila tiba waktunya tetapi saya dapat mengesahkan bahawa ia baik untuk rakyat dan Malaysia,” menurut sumber.

Kenyataan bersama semalam adalah susulan pertemuan pemimpin PH bersama Ismail di Perdana Putra, selepas dijemput oleh perdana menteri itu.

Empat pemimpin itu bertemu lebih sejam dan fokus diberikan bagi mencapai kata sepakat dalam menguruskan Covid-19 dan menambah baik ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.