Mula rancang beri dos penggalak kepada petugas barisan hadapan, gesa persatuan

Mula rancang beri dos penggalak kepada petugas barisan hadapan, gesa persatuan

Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berkata ia bagi melindungi petugas kesihatan yang mungkin terdedah kepada jangkitan sekiranya dos awal tidak lagi memberi perlindungan.

Kumpulan pertama petugas kesihatan sepatutnya telah lengkap dua dos vaksin lima bulan lalu, kata APHM.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu mula merancang pemberian suntikan dos penggalak kepada petugas kesihatannya, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Presidennya, Dr Kuljit Singh berkata, amat membimbangkan apabila varian baharu menular dengan cepat di rantau ini dan beberapa negara lain.

“Petugas kesihatan kita mungkin terdedah kepada jangkitan Covid-19 dan mengalami komplikasi serius sekiranya dos awal tidak lagi melindungi mereka,” katanya dalam kenyataan.

“Kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan dalam sistem penjagaan kesihatan swasta untuk mengadakan mekanisme bagi melaksanakan pemberian dos penggalak sebaik sahaja kelulusan rasmi diperolehi daripada pihak berkuasa kawal selia.

“Kejayaan kita dalam mengurus pandemik bergantung pada keselamatan dan kesihatan petugas kesihatan barisan hadapan.”

Beliau berkata, sebaiknya kajian dilakukan berhubung keberkesanan dan potensi pembentukan imuniti daripada dos penggalak serta sains dalam penggunaan penggalak heterogen yang mungkin efektif terhadap pelbagai mutasi.

Kuljit berkata, kumpulan pertama petugas kesihatan sepatutnya telah lengkap dua dos vaksin lima bulan lalu.

Beliau menganggarkan hampir 80% populasi akan lengkap dua dos vaksin dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Katanya, sebaik sahaja petugas kesihatan menerima perlindungan mencukupi menerusi dos penggalak yang dicadangkan itu, negara boleh mempertimbangkan pemberiannya kepada mereka yang lengkap dua dos, khususnya golongan berisiko tinggi.

Menurutnya, ini berdasarkan penerimaan bukti yang diterbitkan mengenai dos penggalak dan banyak negara telah melaksanakan langkah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.