Jelaskan kenapa doktor kontrak tolak jawatan tetap, kata MMA

Jelaskan kenapa doktor kontrak tolak jawatan tetap, kata MMA

Presidennya Dr Subramaniam Muniandy berkata, lokasi tugasan tidak penting sekiranya jawatan tetap adalah isu utama.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, punca penolakan jawatan itu perlu dijelaskan.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) mesti menjelaskan kenapa 85 doktor kontrak telah menolak tawaran jawatan tetap di bawah skim pengambilan kerja Putrajaya, kata Persatuan Perubatan Malaysia.

“Adakah semata-mata isu logistik?” soal Presidennya Dr Subramaniam Muniandy dalam kenyataan, merujuk kepada kemungkinan doktor kontrak dihantar bertugas di Malaysia Timur.

Katanya, sekiranya keutamaannya adalah untuk jawatan tetap, lokasi tugasan tidak patut menjadi isu.

Menurutnya, doktor berkenaan patut menganggap mereka berkhidmat untuk negara dan bersetuju walau di mana mereka ditugaskan.

“Sebaik wabak sudah terkawal, mereka boleh cuba memohon ditempatkan di lokasi pilihan berdasarkan kekosongan yang ada.”

Subramaniam juga berkata, persatuannya mendapat maklumat bahawa segelintir doktor yang meninggalkan perkhidmatan awam telah mendapat tawaran untuk jawatan tetap.

“Dalam pada ramai yang menantikan tawaran untuk jawatan tetap ini, tidak masuk akal kenapa mereka yang telah meninggalkan perkhidmatan awam masih menerima tawaran berkenaan.”

Susulan itu, katanya, MMA meminta penjelasan berhubung isu itu.

Pada Selasa, KKM mendedahkan 100 pegawai perubatan kontrak yang layak telah menolak tawaran jawatan tetap di bawah skim pelantikan baharu kerajaan, dengan kemungkinan ditugaskan di hospital-hospital di Sabah dan Sarawak.

Mereka adalah dari kumpulan 300 pegawai perubatan yang diberi tawaran itu. Baki 200 individu telah menerima tawaran diberikan.

Menurut KKM, 85 orang gagal melaporkan diri selepas menolak tawaran itu, manakala 15 telah pun meletak jawatan lebih awal disebabkan menerima tawaran kerja lain.

Subramaniam berkata, walaupun 15 orang yang telah meletak jawatan lebih awal hanya 5% daripada keseluruhan jawatan ditawarkan, KKM tetap perlu mengambil perhatian.

“Kenapa seseorang sanggup menghabiskan lima hingga enam tahun untuk belajar dan kemudian meletak jawatan dalam tempoh begitu singkat? Apa kekurangan dalam sistem kita ini?”

Beliau turut menyoal sama ada jawatan tetap ditawarkan kepada doktor lain dari kohort lantikan sama susulan penolakan oleh 100 doktor berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.