Biadab jadikan ibadat ‘troll’ politik, kata PAS

Biadab jadikan ibadat ‘troll’ politik, kata PAS

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata amat biadab jika solat yang diwajibkan dan diharuskan dalam keadaan tertentu dijadikan bahan gurauan politik oleh segelintir pihak.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata rukun Islam kedua itu wajib didirikan tanpa mengira sebarang situasi sama ada di lautan, hutan, udara bahkan di angkasa lepas sekali pun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan ibadat solat sebagai bahan gurauan atau “troll” politik adalah biadab.

Katanya, Rukun Islam kedua itu perlu didirikan tanpa mengira sebarang situasi, sama ada di lautan, hutan, udara bahkan di angkasa lepas sekali pun.

“Solat didirikan setelah memenuhi syarat dan rukun walaupun ketika di lautan, di hutan, di udara hatta di angkasa lepas sekali pun. Paling penting adalah menjaga solat.

“Amat biadab jika ibadat solat yang diwajibkan dan diharuskan dalam keadaan tertentu dijadikan bahan gurauan atau ‘troll’ politik oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab,” katanya menurut laporan Harakahdaily.

Tuan Ibrahim memetik potongan hadis Nabi Muhammad yang bermaksud, “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad”, riwayat at-Tirmizi.

Terdahulu, tular beberapa keping foto anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) menunaikan solat di atas hamparan batu di Gunung Jerai ketika membantu penduduk setempat mendapatkan sumber air bersih akibat banjir di Yan, Kedah.

Difahamkan, gambar itu mengundang pelbagai reaksi pengguna Facebook malah ada yang memberi komen berbaur sindiran namun terdapat juga mengeluarkan pandangan positif.

“Solat atas batu tujuan posting ini? Riak atau mengundang fitnah?” kata pengguna Mohamad Kamal Noh Safiee

“Tahniah anda terbaik semua turun padang yang kecam itu untuk kepentingan sendiri saja dan kepentingan politik mereka, tiada sifat perpaduan dalam diri, suka kecam dan tak suka membantu dok rumah main Facebook saja,” kata seorang lagi pengguna Nazrul Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.