
Tertuduh, Mohd Hafize Mohammad Kassim, 36; Noorhaszieda Hassan, 32; Awalludin Abdul Hamid, 54 dan Tan Wei Cong, 25, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.
Difahamkan, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh yang juga penganggur itu, menurut laporan Harian Metro.
Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa secara bersama menyebabkan kematian dengan niat ke atas seorang lelaki berusia 46 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Tan Yoke Fong antara jam 7 pagi hingga 9.45 malam pada 16 Ogos lalu.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong.
Majistret menetapkan tarikh sebutan semula kes 5 Okt bagi menunggu laporan bedah siasat dan tiada jaminan diberi kepada semua tertuduh.
Pada 16 Ogos lalu, media melaporkan Noorhaszieda mendakwa mangsa memasuki rumahnya di Jalan Tan Yoke Fong ketika dia sedang tidur pada 8.30 pagi sebelum wanita itu menghubungi rakannya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Tok Beng Yeow dilaporkan berkata, lelaki itu dipukul sehingga parah dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 9.45 malam, hari sama.