Zuraida tawarkan pandangan dalam pendidikan untuk wanita Afghanistan

Zuraida tawarkan pandangan dalam pendidikan untuk wanita Afghanistan

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas melakukan pertemuan bersama Duta Afghanistan ke Malaysia Dr Moheb Rahman Spinger.

Zuraida Kamaruddin berkata beliau rasa terpanggil untuk membantu wanita dan kanak-kanak di Afghanistan.
PETALING JAYA:
Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini menunjukkan minat membimbing Taliban mempromosi pemerkasaan golongan wanita, bersedia menawarkan pandangannya untuk dipertimbangkan pihak Afghanistan, termasuk dalam bidang pendidikan.

Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata beliau mampu menyumbang pandangan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan sosial berdasarkan “pengalaman luas memperkasa wanita menerusi bantuan kemanusiaan” sejak lebih dua dekad lalu.

Beliau berkata, menurut laporan, hanya lima daripada 100 perniagaan di Afghanistan dimiliki usahawan wanita.

Ahli Parlimen Ampang itu juga berkata beliau rasa terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi membantu dalam kebajikan kanak-kanak serta wanita di negara berkenaan.

Beliau juga maklum mengenai kadar literasi wanita di Afghanistan pada kadar 29.81% sahaja pada 2018, manakala tahap penyertaan sebanyak 23% pada 2019. Populasi wanita di negara itu adalah kira-kira 19.5 juta.

“Setiap anak perempuan layak mendapat pendidikan dan saya yakin Malaysia mempunyai kelayakan menyediakan garis panduan dan maklum balas dalam bidang terbabit,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan bersama Duta Afghanistan ke Malaysia Dr Moheb Rahman Spinger, pagi tadi.

Pada Disember 2012, pemenang Anugerah Nobel Keamanan Malala Yousafzai, ketika itu berusia 15 tahun, ditembak di kepala oleh Taliban, kerana berkempen untuk pendidikan golongan wanita di timur laut Pakistan.

Zuraida hari ini, berkata beliau bersedia meneliti beberapa kemungkinan di Afghanistan sejajar dengan jawatannya sebagai Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel).

Katanya, beliau berhasrat mengunjungi Afghanistan apabila keadaan lebih tenang, untuk memahami situasi sebenar di negara terbabit.

Minggu lalu, Zuraida berkata, beliau sanggup ke Afghanistan untuk membimbing Taliban mempromosi pembangunan dan pemerkasaan waita, sekiranya diberi peluang berbuat demikian.

Beliau juga menggalakkan negara Islam progresif menghantar wakil wanita ke situ untuk melakukan perkara sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.