Selangor disaran contohi Perak, Johor beri peruntukan sama kepada ADUN pembangkang

Selangor disaran contohi Perak, Johor beri peruntukan sama kepada ADUN pembangkang

ADUN Kota Anggerik Najwan Halimi berkata cadangan itu selaras titah Sultan Selangor supaya wakil rakyat mengetepikan perbezaan politik dan memfokuskan agenda memerangi Covid-19 serta memulihkan ekonomi.

ADUN PKR Najwan Halimi berkata, politik kepartian dan keterlaluan ketika krisis pentadbiran yang dihadapi kerajaan pusat baru-baru ini harus dijadikan iktibar.
SHAH ALAM:
Seorang wakil rakyat PKR mencadangkan agar kerajaan Selangor mencontohi Johor dan Perak yang memberikan peruntukan sama rata kepada ADUN pembangkang.

Najwan Halimi (PH-Kota Anggerik) berkata, cadangan itu selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Isnin lalu supaya wakil rakyat negeri itu mengetepikan perbezaan politik dan memfokuskan agenda memerangi Covid-19 serta memulihkan ekonomi.

“Saya mencadangkan supaya kita menghargai dan melayan ADUN pembangkang dengan memberikan peruntukan setara, langkah sama seperti di Johor dan Perak.

“Kita di Selangor boleh tunjuk sebagai sebuah negeri maju, kita mara dari segi politik dengan beri peruntukan sama serta menghormati mandat diberikan rakyat kepada mereka,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Najwan berkata, politik kepartian dan keterlaluan ketika krisis pentadbiran yang dihadapi kerajaan pusat baru-baru ini harus dijadikan iktibar.

“Saya tak tahu nak kata sekarang ini kerajaan Perikatan Nasional atau Barisan Nasional…mungkin Perbarisan Nasional. Kita tak tahu berapa bulan kerajaan sekarang (dapat) bertahan, mungkin tukar lagi perdana menteri, kita tidak tahu…sebab apa, sebab terlalu sibuk berpolitik.

“Dari kerajaan gagal menjatuhkan kerajaan gagal menaikkan semula kerajaan gagal…inilah dia kerajaan sekarang.”

Bagaimanapun, beliau menggesa semua wakil rakyat di negeri itu supaya merapatkan saf dengan menyokong kepimpinan kerajaan negeri sedia ada dan menjauhkan sebarang usaha untuk mengganggu gugat kestabilan politik sekarang.

“Kita perlu buktikan kita tidak terkesan dengan politik ekstrem seperti ini dan tiada sebarang usaha untuk mengganggu gugat kestabilan politik di Selangor. Di Selangor kita kekal menyokong (pentadbiran kerajaan PH).”

Beliau juga meminta pihak berkuasa tidak hanya memfokuskan penjawat awam dalam membanteras rasuah, sebaliknya perlu turut menyiasat sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sebagai ahli Jawatankuasa Kira–kira Wang Negara (PAC), kami boleh memanggil pihak berkaitan untuk melihat perjalanan syarikat serta melihat laporan mereka, tetapi tiada kuasa untuk ambil langkah seterusnya.

“Saya harap kita jangan buat jawatankuasa untuk bincang sahaja, tetapi tiada tindakan susulan berkenaan agenda itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.