
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Zainal Abidin Kasim berkata, nilai rampasan itu adalah yang terbesar bagi Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) tahun ini.
Beliau berkata, serbuan itu hasil risikan selama dua bulan oleh Batalion 4 PGA Semenyih.
“Dalam serbuan pertama di Seksyen 33, Shah Alam pada 4.13 petang semalam, pihak kami menahan dua lori kontena dan merampas 87,150 karton rokok. Turut ditahan dua pemandu lori warga tempatan berusia 29 dan 35 tahun.
“Nilai rampasan rokok adalah RM7 juta dengan nilai cukai sebanyak RM12 juta,” katanya pada sidang media di Kem Batalion 4 PGA.
Zainal Abidin berkata, melalui soal siasat terhadap dua pemandu lori berkenaan, polis dibawa ke sebuah gudang di Kapar, Klang pada 5.18 petang hari sama dan menemui satu kontena berisi 1,295 kotak arak tidak bercukai serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang juga pemandu lori.
“Arak yang dirampas bernilai RM1.4 juta dengan nilai cukai sebanyak RM1.9 juta. Keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua serbuan ini termasuk dua lori, tiga kontena dan tiga telefon bimbit adalah lebih RM20 juta,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki warga tempatan yang ditahan merupakan pemandu lori yang mengambil upah menghantar barangan dengan upah antara RM100 bagi sekitar Lembah Klang dan RM200 hingga RM300 bagi luar Lembah Klang.
“Mereka juga mendakwa tidak kenal siapa yang mengupah mereka untuk menghantar barangan,” katanya.
Zainal Abidin berkata, pihaknya sedang mengesan dalang sindiket berkenaan dan percaya terdapat penglibatan orang dalam yang berperanan melepaskan kontena itu dari pelabuhan.
“Semua yang ditahan dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam serta IPD Klang Utara dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.