Peniaga didakwa esok kerana buat laporan palsu diperas ugut polis

Peniaga didakwa esok kerana buat laporan palsu diperas ugut polis

Muhammad Amar Zaid Muhammad Amir Lim menukar keterangan dan menarik dakwaan dia diperas ugut tiga anggota polis kerana mahu perkara itu selesai secepat mungkin akibat tekanan dihadapinya.

Penjual sup herba Muhammad Amar Zaid Muhammad Amir Lim (kanan) bersama Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.
PETALING JAYA:
Seorang penjual sup herba akan dihadapkan ke mahkamah di Kuala Lumpur esok atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap anggota polis.

Makluman tersebut disampaikan Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai, hari ini.

Muhammad Amar Zaid Muhammad Amir Lim, 21, mendakwa diperas ugut oleh anggota polis pada 2 Jun lalu kerana gagal mengemukakan surat kebenaran untuk beroperasi dalam tempoh “total lockdown”.

Menurut laporan Malaysiakini sebelum ini, Amar Zaid yang juga dikenali sebagai Lim Thiam Fook, kemudiannya memutuskan untuk menukar keterangan dan menarik balik dakwaan dia diperas ugut oleh tiga anggota polis.

Dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pada 15 Jun lalu, pemimpin DAP itu berkata, Thiam Fook membuat keputusan menukar keterangan selepas disoal siasat polis pada 14 Jun lalu.

Beliau turut mengecam Thiam Fook kerana “menipu” polis, media dan orang awam.

Katanya, pembantunya yang mengiringi pemuda itu dan pegawai siasatan beberapa kali memberi peringatan mengenai akibat membuat laporan palsu dan menasihatinya tidak berbuat demikian.

Lip Eng kemudian meminta beliau memberi penjelasan berhubung tindakannya, tetapi Thiam Fook menafikan dia menipu dan bertegas kejadian peras ugut itu memang berlaku.

Katanya, dia menukar keterangan polis kerana mahu perkara itu selesai secepat mungkin akibat tekanan yang dihadapinya.

“Saya hanya penjaja. Tetapi sekarang saya perlu ke balai polis hampir setiap hari…Saya perlu kerja dan saya tak mahu ini terus berlanjutan. Ini hanya bazirkan masa kerana saya tak dapat cam anggota (yang didakwa peras ugut itu).

“Saya nak isu ini selesai secepat mungkin. Sebab itu saya putuskan untuk tarik balik keterangan awal,” katanya dipetik Malaysiakini Jun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.