Lonjakan Bursa meyakinkan, namun masih banyak perlu dilakukan

Lonjakan Bursa meyakinkan, namun masih banyak perlu dilakukan

Keyakinan pelabur dan pemulihan ekonomi akan ‘terbantut’ jika kes Covid-19 tidak dapat diturunkan dan ekonomi dibuka semula.

Lonjakan sekitar 70 mata dalam indeks BSKL-FTSE sejak kejatuhan kerajaan terdahulu mencerminkan harapan para pelabur agar dasar dan pelaksanaan kerajaan baharu akan berbeza.
PETALING JAYA:
Meskipun prestasi Bursa Malaysia meyakinkan sejak Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menterinya berundur, Najib Razak berkata, masih banyak yang perlu dilakukan jika mahu keyakinan pelabur dan ekonomi benar-benar pulih.

Bekas perdana menteri itu berkata, lonjakan sekitar 70 mata dalam indeks BSKL-FTSE sejak kejatuhan kerajaan terdahulu mencerminkan harapan para pelabur.

“Namun pemulihan keyakinan pelabur tempatan dan asing ini berasaskan harapan bahawa dasar dan pelaksanaan kerajaan baharu akan berbeza dari dulu,” katanya di Facebook.

Bagaimanapun katanya, keyakinan pelabur dan pemulihan ekonomi akan “terbantut” jika kes Covid-19 tidak dapat diturunkan dan ekonomi dibuka semula dan bantuan tidak diberi kepada peniaga untuk “memulihkan modal dan aliran tunai yang telah lama terkesan di bawah ‘lockdown’”.

“Selagi kes baharu tinggi, ramai pelabur asing dan tempatan akan tidak berani melabur untuk membina ‘business’ baharu atau mengembangkan ‘business’ sedia ada jikapun diberi kelonggaran,” tambahnya.

“Ada cara dan ada penyelesaiannya. Insya-Allah, akan disempurnakan oleh kerajaan baharu bagi mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat yang pernah dikecapi suatu ketika dulu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.