ATM sedia terima semula sarjan Wan Ramly jika setuju divaksin

ATM sedia terima semula sarjan Wan Ramly jika setuju divaksin

Isnin lalu FMT melaporkan seorang anggota tentera diberhentikan perkhidmatan kerana enggan menerima vaksin Covid-19.

Panglima Tentera Darat Zamrose Mohd Zain berkata Wan Ramly Wan Seman akan diterima berkhidmat semula jika dia berubah fikiran dan setuju untuk divaksin.
PETALING JAYA:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menerima semula anggota yang dipecat kerana enggan menerima vaksin jika dia menarik balik keputusannya dan sedia divaksin.

Menurut Bernama, Panglima Tentera Darat Zamrose Mohd Zain, berkata pihaknya juga bersedia mengkaji skim yang sesuai untuk diberikan kepada anggota yang bersara awal.

Isnin lalu, FMT melaporkan seorang anggota tentera berpangkat sarjan, Wan Ramly Wan Seman diberhentikan perkhidmatan kerana enggan menerima vaksin Covid-19.

Wan Ramly, 39, mendakwa perkhidmatannya hampir 20 tahun ditamatkan berkuat kuasa Khamis ini selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin.

Dia yang bertugas di Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan, dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi.

Zamrose berkata TDM mempunyai 86,000 anggota dan tidak mahu sebarang implikasi berlaku terhadap anggota lain yang bekerja dalam pasukan.

“TDM merasakan dia tidak sesuai dengan tentera darat kerana TDM bekerja dalam kumpulan dan TDM tidak mahu sebarang implikasi kepada anggota lain kerana dia seorang sahaja yang tidak mahu menerima vaksin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang tentera berpangkat Sarjan dipecat kerana menolak vaksin Covid-19 dan menyebabkan dia kehilangan kelayakan untuk menerima skim pencen.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.