Acara memperingati mangsa Covid-19 di Dataran Merdeka, ahli DAP bakal didakwa

Acara memperingati mangsa Covid-19 di Dataran Merdeka, ahli DAP bakal didakwa

Nalina Nair yang juga Setiausaha Wanita DAP Selangor berkata di media sosial, dia akan menghadapi tuduhan di mahkamah.

Nalini Nair antara 14 wanita yang ditahan dalam acara diadakan untuk memperingati mangsa Covid-19 di Dataran Merdeka pada 19 Ogos lalu. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Seorang peserta yang menghadiri acara peringatan untuk mangsa Covid-19 di Dataran Merdeka mendedahkan dia akan didakwa di mahkamah Kuala Lumpur pagi esok.

Nalina Nair, yang juga Setiausaha Wanita DAP Selangor berkata, dia berdepan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Katanya, rakannya yang hanya dikenali sebagai “Suja” juga akan didakwa esok bagi kesalahan sama.

Bagaimanapun, Nalina berkata dia tidak gerun dengan taktik seperti itu yang bertujuan “menakutkan kita yang mahukan pentadbiran dan pengurusan wabak Covid-19 yang lebih baik.

Khamis lalu, polis menahan 31 orang kerana menghadiri perhimpunan anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) itu.

Antaranya termasuk penganjur #Lawan Mohammad Asraf Sharaf, pengasas bersama Undi18 Qyira Yusri, dan Sarah Irdina Mohamad Ariff, pengasas Misi Solidariti.

Ramai daripada mereka didakwa dikasari dan diheret menaiki kenderaan Black Maria polis.

Seramai 31 orang merangkumi 17 lelaki dan 14 wanita itu kemudian didenda RM2,000 setiap seorang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.