
Angka itu direkodkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini daripada 1,176 murid yang dikesan sebagai murid tercicir di negara ini.
Edry Faizal Eddy Yusof (PH-Dusun Tua) berkata, permasalahan berpunca daripada perubahan mengejut sistem pendidikan itu juga berkait rapat dengan kesenjangan ekonomi, persekitaran tempat tinggal, sokongan kekeluargaan dan psikologi.
“Kajian bagi Malaysia dari Januari hingga Februari 2021 menunjukkan daripada 1,176 pelajar sekolah rendah yang dilaporkan tidak mampu menulis, membaca, dan mengira, 35.3% daripadanya adalah dari Selangor.
“Hari ini, yang keadaannya seolah-olah perang dunia juga melihat kepada besarnya skala pandemik, generasi tercicir ini bukan sahaja terdiri daripada kanak-kanak seperti yang sering dibincangkan, tetapi melibatkan keseluruhan generasi muda yang berumur 18 tahun ke bawah,” katanya ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau berkata, berdasarkan data diperolehnya, lapan daripada 10 generasi tercicir adalah daripada keluarga B40.
“Masalah generasi tercicir ini jika tidak ditangani akan menyebabkan kemiskinan bergenerasi (multi generational poverty),” katanya.
Justeru, wakil rakyat DAP itu menggesa kerajaan negeri merangka peruntukan yang menjurus ke arah pendidikan dan pembangunan sosial dengan mengambil kira permasalahan generasi tercicir berkenaan dalam belanjawan tahun depan.
“Sudah tentu bidang kuasa dan kemampuan fiskal kerajaan negeri terbatas untuk menyelesaikan permasalahan ini. Akan tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh menyumbang kepada penyelesaian.
“Meski tidak dapat menyelesaikan masalah ini secara tuntas, sekurang-kurangnya dapat menyerap impak negatif daripada menjadikan keadaan bertambah buruk,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan peruntukan bagi pendidikan dan pembangunan sosial bagi tahun 2021 sebanyak hampir RM80 juta yang langsung tidak menyentuh program khusus untuk mengatasi kumpulan tercicir berkenaan.