
Dalam kenyataan, kementerian itu berkata sejumlah 300 pegawai perubatan yang layak ditawarkan jawatan tetap bulan ini menerusi skim pelantikan baharu kerajaan, dengan prospek pekerjaan dipecahkan antara penempatan di Sabah dan Sarawak.
Katanya, 150 pegawai iaitu semua baki 19 pegawai kelahiran Sabah dan 131 pegawai kelahiran Semenanjung ditawarkan pelantikan tetap dengan penempatan di Sabah.
“Sejumlah 150 pegawai kelahiran Semenanjung dilantik tetap dengan penempatan di Sarawak. Semua anak kelahiran Sarawak telah pun dilantik tetap dalam urusan terdahulu,” katanya.
Katanya, bagaimanapun daripada sejumlah 300 orang pegawai ditawarkan jawatan tetap, hanya seramai 200 orang atau 66% pegawai bersetuju menerima tawaran berkenaan.
Baki seramai 100 orang pegawai tidak melapor diri untuk bertugas kerana menolak tawaran membabitkan 85 pegawai, manakala 15 orang mendapat tawaran pekerjaan lain.
“Pihak kementerian memandang serius perkara ini kerana pelantikan ke jawatan tetap tidak sepatutnya dilepaskan ketika doktor kontrak mengemukakan tuntutan kepada kerajaan supaya melantik mereka secara tetap. Dalam hal ini, pelantikan tetap kali kedua tidak akan ditawarkan kepada pegawai yang menolak,” katanya.
KKM berkata, sejumlah 1,089 pelantikan tetap dilakukan sejak 2018 hingga kini.
Sehubungan itu, katanya, sebanyak 100 kekosongan jawatan tetap di wilayah Sabah dan Sarawak akan dibuat pengisian segera dalam kalangan baki calon selepas mendapat kelulusan pelantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).