
Tarikh akhir asal untuk syarikat itu membina PDF ialah September 2021. Ia kini mempunyai masa sehingga 2 Mac 2022.
Lynas menerusi kenyataan di laman webnya berkata, lanjutan itu kerana “menyedari kekangan yang disebabkan keadaan Covid-19 semasa”.
Katanya, Lynas akan terus mengadakan libat urus dengan kerajaan dan pengawal selia berkaitan sebarang kelulusan berhubung pembinaan PDF itu.
Sebelum ini, kerajaan mengarahkan Lynas mengenal pasti lokasi untuk tapak pelupusan sisa itu sebagai sebahagian daripada syarat bagi memperbaharui lesen operasi syarikat terbabit.
Sementara itu, Lynas berkata, kilang nadir buminya beroperasi pada kadar lebih rendah sejajar SOP kesihatan dan keselamatan Covid-19 untuk sektor pembuatan.
“Ketika gelombang ketiga Covid-19 berlarutan, Lynas terus mengekalkan protokol kebersihan dan kesihatan ketat, termasuk menguji semua kakitangan serta kontraktor sebelum memasuki tapak,” katanya sambil menambah 94% kakitangannya sudah menerima dos kedua vaksin Covid-19 mereka.