Lebih baik dapat peruntukan besar daripada jawatan TPM II, kata penganalisis

Lebih baik dapat peruntukan besar daripada jawatan TPM II, kata penganalisis

Rakyat Sarawak lebih suka jika peruntukan lebih besar disalurkan dan hak mereka ditegakkan dalam Perjanjian Malaysia, kata penganalisis.

Fadillah Yusof dan Alexander Nanta Linggi antara yang disebut sebagai pemimpin berpotensi untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri II.
PETALING JAYA:
Rakyat Sarawak lebih suka diberikan peruntukan besar untuk pembangunan prasarana di negeri itu berbanding melihat orang dari negeri itu dilantik menjadi timbalan perdana menteri, kata penganalisis politik.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, mereka lebih suka hak mereka ditegakkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan lebih banyak keutamaan diberikan kepada negeri itu dari segi penambahbaikan prasarana.

“Apa gunanya orang Sarawak memegang jawatan nombor dua apabila ia hanya memanfaatkan seorang individu sahaja? Lebih baik kita mendapat lebih banyak dana pembangunan yang akan memanfaatkan semua penduduk,” katanya kepada FMT.

Katanya, pelantikan timbalan perdana menteri daripada orang Sarawak tidak semestinya membolehkan negeri itu mendapat peruntukan lebih baik atau diberi keutamaan dalam projek pembangunan.

“Bagaimanapun sekiranya Sarawak mendapat kedua-duanya sekali (jawatan TPM dan manfaat) ia lebih baik.”

Baru-baru ini, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) meminta pentadbiran baharu mewujudkan jawatan TPM II yang diisi oleh Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Setiausaha Agung SUPP Sebastian Ting turut mencadangkan supaya Putrajaya melantik sama ada Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadillah Yusof atau Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi.

Kedua-dua PBB dan SUPP adalah ahli gabungan GPS.

Fadillah memegang jawatan sebagai menteri kanan dan menteri kerja raya dalam pentadbiran sebelum ini manakala Alexander pula adalah menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Seorang penganalisis politik berkata, gabungan kerajaan di Sarawak akan berasa “agak gembira” dengan jawatan TPM II.

James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata, kewujudan jawatan itu tidak akan menjadi kontroversi selagi jawatan TPM I dipegang oleh menteri kanan dari Semenanjung.

Chin, yang baru-baru ini berkata, GPS adalah pemenang terbesar dalam krisis politik terbaru menjelaskan bahawa gabungan terbabit sekurang-kurangnya akan mendapat jumlah jawatan menteri yang sama seperti dalam pentadbiran sebelum ini.

GPS mempunyai empat menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN)

Tambah Chin, ketika rakyat Sarawak lebih suka dengan kuasa autonomi yang lebih besar dan pematuhan penuh dalam MA63 antara lain, jawatan TPM II “akan menjadi bonus”.

Ditanya sama ada pelantikan TPM II dalam kalangan orang Sarawak akan meningkatkan sokongan terhadap Ismail dalam pilihan raya, Chin berkata, ia “tidak mungkin”.

Katanya, langkah itu mungkin hanya membantu GPS yang kini boleh mendakwa mereka mendapat perjanjian yang lebih baik dengan Umno.

GPS dibidas baru-baru ini kerana tidak menyokong Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri daripada pembangkang selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.