Kerajaan ke Mahkamah Persekutuan batal perintah berkait kes KVDT2

Kerajaan ke Mahkamah Persekutuan batal perintah berkait kes KVDT2

Bulan lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan terhadap perintah membenarkan Dhaya Maju LTAT memulakan semakan kehakimannya.

Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 antara 101 projek yang didakwa kerajaan Perikatan Nasional diberikan secara rundingan terus oleh pentadbiran Pakatan Harapan.
PUTRAJAYA:
Kerajaan membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dalam usaha membatalkan perintah mahkamah yang diberikan kepada Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd dengan membenarkannya mencabar keputusan kerajaan Perikatan Nasional menamatkan kontrak Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).

Seorang pegawai kerajaan hari ini mengesahkan permohonan untuk mendapat kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan difailkan 12 Ogos lalu.

Mahkamah tertinggi itu menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan.

Pada 16 Julai lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan terhadap perintah yang diperolehi Dhaya Maju LTAT untuk memulakan semakan kehakiman ke atas KVDT2.

Hakim Lee Swee Seng, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, syarikat itu memenuhi ujian ambang untuk memulakan prosiding semakan kehakiman atas alasan mereka terjejas teruk dengan keputusan kerajaan dalam melaksanakan fungsi awamnya.

“Penamatan kontrak pembinaan biasanya hal undang-undang persendirian, tetapi dalam kes ini, terdapat unsur awam kerana kerajaan menyatakan penamatan itu dilakukan atas alasan kepentingan negara,” kata Lee ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah.

Katanya, tiada alasan untuk campur tangan dalam kuasa hakim Mahkamah Tinggi melaksanakan budi bicaranya dengan membenarkan penangguhan terhadap keputusan kerajaan mengadakan tender awam ke atas KVDT2, sementara menunggu kes mahkamah Dhaya Maju LTAT. Mahkamah Rayuan turut memerintahkan kes itu kembali didengar di Mahkamah Tinggi.

Syarikat itu menuntut deklarasi mahkamah bahawa keputusan bekas menteri pengangkutan, Wee Ka Siong membatalkan kontrak KVDT2 serta membuka semula tender sebagai tidak sah dan terbatal.

Dhaya Maju LTAT juga mahu mahkamah membatalkan keputusan itu dan memaksa kerajaan melaksanakan semua dokumen serta perjanjian.

KVDT2 adalah antara 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didakwa kerajaan PN di Parlimen baru-baru ini diberikan secara rundingan terus di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.