KPT, Australia anjur wacana kupas kualiti pendidikan tinggi dalam talian, kebolehpasaran graduan di era Covid-19

KPT, Australia anjur wacana kupas kualiti pendidikan tinggi dalam talian, kebolehpasaran graduan di era Covid-19

Siri webinar 'Pendidikan dan Penyelidikan era Covid-19' pada 23-25 Ogos mengupas topik pembelajaran dalam talian, kebolehpasaran graduan, penyelidikan, dan jaminan kualiti pendidikan tinggi dalam talian di era Covid-19.

PETALING JAYA:
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan, Kemahiran, dan Kebolehgajian Australia (DESE) bekerjasama menganjurkan wacana bagi mengupas topik pembelajaran dalam talian dan kebolehpasaran graduan, ketika ekonomi dan sosial sejagat teruk terjejas akibat wabak Covid-19.

Webinar bersiri “Pendidikan dan Penyelidikan era Covid-19: Dialog antara Malaysia dan Australia” itu akan turut mengupas topik penyelidikan serta jaminan kualiti pendidikan tinggi dalam talian dalam program yang berlangsung selama tiga hari, bermula 23 hingga 25 Ogos.

Wacana ini menampilkan barisan individu berkaliber dari Malaysia dan Australia, termasuk pensyarah universiti serta penggubal dan pengamal dasar pendidikan tinggi tempatan.

“Program ini bertujuan mengalakkan program kerjasama dua hala yang berimpak positif, selaras dengan skop kerjasama dalam memorandum persefahaman Malaysia-Australia dalam bidang pendidikan tinggi,” menurut kenyataan.

“Program ini juga untuk memberi peluang bagi perkongsian pengalaman antara Malaysia dan Australia berkenaan penyampaian pendidikan dan penyelidikan dalam talian semasa pandemik, di samping berbincang mengenai pendekatan terbaik bagi mencapai taraf perkhidmatan pendidikan tinggi dalam talian yang berkualiti.”

Terbahagi kepada lima sesi setiap hari, dialog pakar bidang dari Malaysia dan Australia ini menyentuh lima topik mendesak:

1. Jaminan kualiti pendidikan tinggi dalam talian di Australia dan Malaysia. (9.30 pagi)

2. Penilaian dan integriti pembelajaran pendidikan tinggi dalam talian. (12 tengah hari)

3. Pembelajaran dan pengajaran dalam talian semasa Covid-19: Pengalaman di politeknik dan kolej komuniti Malaysia dan sektor pendidikan dan latihan vokasional Australia. (9.30 pagi)

4. Menyokong penyelidikan dan kerjasama semasa wabak Covid-19. (12 tengah hari)

5. Pembangunan golongan profesional dan kebolehgajian di era Covid-19. (9.30 pagi)

Program mensasarkan 500 peserta ini boleh dilayari secara maya menerusi Zoom dan Facebook kementerian. dengan Ketua Setiausaha KPT, Dr Mazlan Yusoff dan Pesuruhjaya Tinggi Australia, Justin Lee, memulakan program dengan ucapan aluan bagi peserta dan penonton.

Program kolaborasi dua negara ini kali terakhir dianjurkan pada 2017. Malaysia dan Australia meterai MoU dalam bidang pendidikan tinggi pada 2002.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.