
Dalam kenyataan, Tentera Darat Malaysia (TDM) berkata anggota yang ingkar atau enggan menerima vaksin, boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap.
“Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar anggota TDM hidup secara berkelompok.
“Selain itu, peranan dan tanggungjawab anggota TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan turut berdepan dengan kebolehjangkitan Covid-19,” menurut kenyataan.
Sehubungan itu, TDM berkata adalah wajar semua anggota mendapatkan vaksin bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan anggota, keluarga dan masyarakat.
Terdahulu, FMT melaporkan seorang anggota tentera darat berpangkat sarjan, Wan Ramly Wan Seman daripada Batalion 24 Rejimen Askar Melayu Diraja (24 RAMD) diberhentikan perkhidmatan kerana enggan menerima vaksin Covid-19.
Wan Ramly yang berpangkalan di Kem Rasa, Negeri Sembilan diberhentikan dan bakal kehilangan pencen yang layak diperolehnya dalam tempoh 16 bulan lagi.
Arahan pemberhentian perkhidmatan terhadapnya dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan dan akan berkuat kuasa 26 Ogos ini.
Katanya, tarikh penamatan perkhidmatan sepatutnya pada 21 Januari 2023 dan dia sepatutnya melaporkan diri untuk latihan penempatan semula pada Mac tahun depan.
Bapa kepada tiga anak itu memberitahu FMT, dia hanya menggunakan haknya untuk menolak vaksinasi seperti dinikmati setiap warganegara.