7 pelanggan dikompaun RM35,000, langgar SOP kunjungi pusat hiburan ketika PPN Fasa 1

7 pelanggan dikompaun RM35,000, langgar SOP kunjungi pusat hiburan ketika PPN Fasa 1

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mereka dikompaun RM5,000 setiap seorang.

Pengunjung yang ditahan dan minuman keras yang dirampas dalam serbuan jam 3 petang di sebuah pusat hiburan di Sungai Way dekat sini semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA :
Tujuh pelanggan dikompaun RM35,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan berhibur di sebuah pusat hiburan di Sungai Way, dekat sini semalam.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Petaling Jaya menahan individu yang terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita tempatan berumur 20 hingga 50 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, setiap seorang daripada mereka telah dikompaun RM5,000 mengikut peraturan 17 (1) PPPPB (No. 3) 2021 kerana mengunjungi pusat hiburan.

“Menerusi ujian saringan air kencing yang dilakukan, kita dapati dua daripada pelanggan yang berumur 22 dan 25 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Kedua-duanya telah ditahan reman selama tiga hari bermula semalam di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan.

Fakhrudin berkata, seorang wanita berusia 40 tahun yang juga pengurus pusat hiburan berkenaan turut dikompaun RM25,000 kerana melanggar SOP di bawah Peraturan 17 (2) PPPPB (No. 3) 2021 kerana beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

“Pengurus itu juga gagal mengemukakan lesen perniagaan minuman keras bagi tahun 2021 menyebabkan sembilan botol minuman keras pelbagai jenama dirampas.

“Tiga pekerja warga asing juga ditahan di bawah Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.