Temui ajal selepas jalan kaki lebih 2km ke PPV

Temui ajal selepas jalan kaki lebih 2km ke PPV

Mangsa tiba-tiba rebah ketika berehat di bawah pokok selepas berjalan dari kediamannya di Kampung Pampang ke PPV Kompleks Sukan Keningau.

Warga asing berusia 57 tahun itu ditemui mati selepas dipercayai berhenti berehat di bawah pokok, kata Ketua Polis Daerah Keningau Shahrudin Mat Husain.
KENINGAU:
Seorang lelaki yang dipercayai berjalan kaki sejauh lebih 2km untuk menerima vaksin Covid-19 ditemui mati di bawah pokok berhampiran Kompleks Sukan Keningau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa dikatakan tiba-tiba rebah ketika berehat di bawah pokok itu selepas berjalan dari kediamannya di Kampung Pampang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau Shahrudin Mat Husain berkata, sepasukan pegawai perubatan bergegas ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa namun dia kemudiannya disahkan meninggal dunia.

”Mangsa adalah seorang lelaki warga asing berusia 57 tahun dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Keningau oleh pasukan Covid-19 polis dan KKM (Kementerian Kesihatan) untuk tindakan lanjut.

”Siasatan awal mendapati mangsa telah berjalan kaki dari kediaman di Kampung Pampang Keningau ke PPV Kompleks Sukan Keningau untuk hadir janji temu vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

”Tiada sebarang unsur jenayah didapati dalam kes ini dan ianya diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.