PM Singapura ucap tahniah, pelawa Ismail adakan lawatan rasmi

PM Singapura ucap tahniah, pelawa Ismail adakan lawatan rasmi

Kementerian Luar Singapura memaklumkan Lee Hsien Loong telah menghubungi Ismail Sabri menerusi panggilan telefon pagi ini.

Lee Hsien Loong mengundang Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan lawatan rasmi ke Singapura. (Gambar AFP)
SINGAPURA:
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Singapura memaklumkan Lee telah menghubungi Ismail menerusi telefon pagi tadi.

Kedua-dua pemimpin itu turut mengulangi mengenai hubungan kerjasama yang mendalam antara Singapura dan Malaysia serta berharap dapat bekerjasama menghadapi cabaran termasuk pandemik Covid-19.

Sementara itu, dalam perutusan tahniah kepada Ismail, Lee mengundang rakan sejawatannya itu untuk mengadakan lawatan rasmi ke Singapura.

“Saya yakin bahawa hubungan kita akan terus kukuh. Saya berharap dapat bertemu dengan anda tidak lama lagi dan meningkatkan lagi kerjasama untuk kepentingan bersama.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mempelawa anda mengadakan lawatan rasmi ke Singapura untuk kita berbincang bagaimana kita dapat bekerjasama antara satu sama lain dan mengeratkan lagi hubungan persahabatan,” tulis Lee.

Lee turut yakin Malaysia akan terus maju di bawah kepimpinan Ismail.

“Kita miliki banyak persamaan dan rakyat kedua-dua negara juga mempunyai hubungan yang erat. Selama bertahun-tahun, Singapura telah bekerjasama rapat dengan pemerintah Malaysia untuk menghadapi cabaran bersama termasuk pandemik.

“Anda telah memberikan sumbangan yang penting dalam memperkuat kerjasama dua hala, termasuk mempengerusikan bersama Jawatankuasa Kerja Khas Malaysia-Singapura-Malaysia mengenai Covid-19,” kata Lee.

Lee dan isteri Ho Ching juga berharap Ismail dan isteri Muhaini Zainal Abidin dikurniakan kesihatan yang baik serta ceria selalu.

Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.