Pemimpin BN, PN sambut baik pelantikan Ismail PM baharu

Pemimpin BN, PN sambut baik pelantikan Ismail PM baharu

Rata-rata menyambut baik dan sedia membantu Ismail dalam melancarkan pentadbiran negara yang lebih baik.

Antara yang pertama mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri Yaakob adalah Hishammuddin Hussein yang berjanji akan membantunya sebaik mungkin dan Ahmad Maslan yang menggariskan lima perkara utama perlu ditangani.
PETALING JAYA:
Pemimpin daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyambut baik pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu.

Bendahari Agung BN, Hishammuddin Hussein berkata, pelantikan perdana menteri baharu itu penting berikutan negara memerlukan kestabilan.

“Ia demi membolehkan negara kembali menumpukan terhadap usaha menangani krisis Covid-19, memulihkan ekonomi serta membela kesejahteraan rakyat.

“Insya-Allah, saya akan bantu sebaiknya menerusi apa jua kapasiti yang saya ada demi kepentingan negara tercinta,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Ismail dilantik sebagai perdana menteri baharu menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Perkara itu diumumkan Istana Negara dalam kenyataan petang tadi.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN dan Umno, Ahmad Maslan dalam catatan di Facebooknya selepas pengesahan pelantikan Ismail itu berharap beliau menjadi perdana menteri yang berjaya dengan memastikan wabak Covid-19, ekonomi, politik, masyarakat harmoni dan dapat memulihkan negara keseluruhannya dengan pantas.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup berkata, pelantikan Ismail itu merupakan satu langkah yang tepat bagi menghentikan kemelut politik negara.

Katanya, PBRS selaku komponen dalam BN menyokong penuh pelantikan ini dan yakin akan kemampuan Ismail berdasarkan pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.

“Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi menghadapi cabaran yang sedang dialami.

“Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti perlu memberi fokus kepada usaha-usaha untuk memerangi pandemik Covid-19, memulihkan semula ekonomi negara serta membantu rakyat berdepan dengan detik sukar ini,” katanya.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Haji Noor berkata, Ismail mempunyai kelayakan dan pengalaman yang diperlukan untuk memimpin negara ini.

Hajiji, yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kerajaan negeri GRS menyokong penuh Ismail Sabri dan mengharapkan hubungan negeri-persekutuan ini akan membuahkan hasil, bukan hanya untuk mempercepatkan usaha membangunkan negeri ini tetapi juga yang antara lain mengambil kira hak-hak Sabah.

“Kami akan meneruskan perjuangan ini dan isu-isu berkenaan dengan hak, keutamaan dan keperluan Sabah juga akan diteruskan.

“Sekarang pergolakan kepemimpinan di peringkat persekutuan telah diselesaikan, marilah kita semua bersatu, mengetepikan perbezaan dan terus bergerak untuk memerangi pandemik Covid-19 serta membangun kembali ekonomi kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.