
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Bait Al-Amanah menggesa langkah proaktif berdasarkan data saintifik dan penyelidikan untuk mengelakkan sistem kesihatan awam musnah sepenuhnya kerana negeri lain kurang dilengkapi sumber berbanding Lembah Klang.
Memetik penemuan ahli matematik Stanford yang berpangkalan di Pulau Pinang, mereka mendapati kluster tempat kerja menyumbang secara ketara kepada kadar kebolehjangkitan (R0 or R-nought) di Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan ketika enam minggu pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
“Secara ringkas, terdapat bukti kukuh penularan Covid-19 akan berkurangan jika tiada lagi kluster tempat kerja dalam tempoh ini.
“Oleh itu, dakwaan baru-baru ini oleh bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri kita bahawa sektor pembuatan menyumbang kepada kes harian adalah minimum, tidak tepat,” katanya dalam kenyataan bersama.
Mereka mencadangkan beberapa langkah untuk menangani kluster tempat kerja, termasuk “lockdown” bersasar di kilang, tempat tinggal kakitangan sewajarnya, ujian rutin untuk pekerja dan pengasingan kes disyaki atau positif.
Badan pemikir itu turut mencadangkan pengudaraan baik di tempat kerja, meningkatkan vaksinasi bersasar terhadap pemain industri, pekerja tempatan dan asing serta meningkatkan penguatkuasaan ke atas kilang haram.
“Selain cadangan di atas berdasarkan penemuan kajian, kami turut mencadangkan keperluan untuk merancang terlebih dahulu bagi meningkatkan kapasiti ICU kita. Ini boleh dilakukan dengan membina kemudahan ICU ‘purpose-built’ secara pantas dengan Unit Kebergantungan Tinggi (HDU) ditempatkan berhampiran hospital utama, berdasarkan kepakaran dari negara lain.”
Akhir sekali, mereka menggesa perkongsian data granular secara terbuka dan telus mengenai sektor khusus kluster tempat kerja dan pesakit dijangkiti.
“Malaysia memerlukan pendekatan baharu dan berkesan terhadap strategi nasional, berdasarkan sains dan data. Kita perlu merancang di luar ‘lockdown’ tiada pengakhiran yang membawa begitu banyak kesan.”