
Perkara itu dimaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kerian dalam kenyataan.
“Pusat pemindahan sementara SK Changkat Lobak akan dibuka 3.30 petang ini. Mohon kerjasama dan bantuan jabatan/agensi berkaitan untuk pengoperasian PPS,” menurut jurucakap.
Semalam, seramai 102 penduduk daripada 29 keluarga di lima kampung sekitar Taiping dipindahkan ke dua PPS berikutan hujan berterusan sehingga menyebabkan kediaman mereka dinaiki air, sejak malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam kenyataan memaklumkan, setakat 7.30 pagi tadi, 87 mangsa dari Kampung Sungai Rentaka, Matang, serta Kampung Changkat Baru dan Kampung Jebong Kiri ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim Al Baraqah.
Seramai 15 mangsa dari Kampung Sungai Nyior dan Kampung Sungai Tinggi pula ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di Perak membabitkan Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.