Ura-ura Ismail PM baharu, sekali lagi pintu tertutup buat Anwar, PH bersikap tunggu dan lihat

Ura-ura Ismail PM baharu, sekali lagi pintu tertutup buat Anwar, PH bersikap tunggu dan lihat

Ketua Setiausaha Sekretariat PH Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan mengulas perkembangan terkini krisis politik negara selepas Istana membuat kenyataan rasmi.

Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pakatan Harapan mengambil pendirian hanya akan mengulas setelah keluar kenyataan rasmi daripada Istana bagi menghormati proses sedang dijalankan Yang di-Pertuan Agong.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai “andaian” pintu untuk Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri sudah tertutup berikutan spekulasi Naib Presiden Umno Ismail Sabri memperoleh sokongan 114 Ahli Parlimen untuk diberi mandat membentuk kerajaan baharu.

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya hanya akan mengulas perkembangan terkini krisis politik susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin Isnin lalu selepas Istana Negara membuat kenyataan rasmi mengenai pengganti Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Kami mengambil pendirian hanya akan mengulas setelah keluar kenyataan rasmi daripada Istana bagi menghormati proses sedang dijalankan Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid, enggan memberikan sebarang kenyataan kerana diarahkan “tuan gurunya” (Anwar) supaya “mengunci mulut” untuk tempoh 48 jam.

“Nanti saya salah cakap, ‘tok guru’ saya marah. Okaylah saya hendak masuk gua balik ini. Jumpa lagi 48 jam nanti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kapar, tanpa mengulas lanjut.

Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan Perikatan Nasional (PN) memberi sokongan padu kepada Ismail untuk menjadi “calon perdana menteri kerajaan PN yang baharu.”

Sokongan itu berserta dengan sokongan Ahli Parlimen BN dilaporkan mencukupi untuk Ismail memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai perdana menteri ke-9.

Sultan Abdullah dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mesyuarat khas Majlis Raja-raja esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.