
Katanya, kelonggaran turut diberikan bagi operasi pasar malam dan pasar minggu.
Kebenaran itu berkuat kuasa tengah malam ini.
“Aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) juga dibenar bagi negeri Fasa 1 PPN dan seterusnya serta terpakai dalam daerah yang sama sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kelulusan kelonggaran tambahan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.
Muhyiddin menegaskan, seseorang individu hanya diiktiraf sudah lengkap vaksinasinya apabila melepasi tempoh 14 hari selepas menerima dos kedua bagi vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac.
Dos lengkap bagi penerima suntikan Johnson & Johnson dan CanSino pula diiktiraf selepas 28 hari dari tarikh suntikan.
Katanya, pertimbangan itu dibuat mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara melebihi 50%, dengan pencapaiannya lebih awal daripada disasarkan sebelum ini iaitu 31 Ogos.
Muhyiddin turut memaklumkan beberapa negeri yang meliputi lebih 40% populasi dewasa lengkap divaksin menunjukkan perkembangan positif apabila kes bagi Kategori 3 hingga 5 melihat penurunan.
“Pada masa sama, data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.
“Contohnya, purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri Lembah Klang telah menurun. Situasi ini dilihat selari dengan pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang yang memberangsangkan iaitu 73.8%,” katanya.
Beliau turut menegaskan kementerian dan agensi yang memantau kemudahan berkenaan termasuk pemilik premis, mesti bertanggungjawab sepenuhnya memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan ditetapkan.
“Jika berlaku jangkitan di premis yang menikmati kemudahan ini, KKM terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak dikenal pasti melanggar SOP,” katanya.