Hotel di Seberang Perai ditawarkan jadi pusat kuarantin

Hotel di Seberang Perai ditawarkan jadi pusat kuarantin

Cadangan itu susulan lonjakan kes jangkitan di kawasan tanah besar Pulau Pinang sejak sebulan lalu.

Empat hotel beroperasi sebagai pusat kuarantin di Pulau Pinang, namun tiada di kawasan tanah besar.
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang menggesa supaya hotel di Seberang Perai dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Ini susulan lonjakan kes jangkitan di kawasan tanah besar Pulau Pinang sejak sebulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Yeoh Soon Hin berkata, Seberang Perai tiada hotel kuarantin walaupun empat telah beroperasi dalam kapasiti itu di bahagian pulau.

Yeoh berkata, keadaan mendesak untuk mewujudkan lebih banyak kemudahan PKRC di bahagian tanah besar memandangkan Seberang Perai Tengah saja telah merekodkan 738 kes jangkitan daripada 1,485.

Yeoh meminta hotel yang berminat menjadikan premis mereka sebagai PKRC untuk menulis ke [email protected]

Seberang Perai telah merekodkan 12,065 jangkitan Covid-19 sejak dua minggu lalu, menjadikannya kawasan paling teruk dari segi bilangan kes.

Lebih 95% kawasan adalah zon merah dengan Juru dan Bukit Tengah paling teruk terjejas, selain puluhan kawasan perindustrian di negeri itu.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), keseluruhan bilangan kes di Pulau Pinang melonjak akibat penggunaan ujian RTK-Antigen dalam pada kadar kepositifan negeri itu mencapai 10%, iaitu menjangkaui had antarabangsa 5%.

Hari ini 1,655 kes direkodkan di Pulau Pinang dengan 1,351 melibatkan penduduk tempatan. Kebanyakannya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala, manakala 18% mengalami radang paru-paru dan 9% masalah pernafasan teruk.

Seberang Perai Selatan masih menunjukkan kadar insiden paling buruk dengan 932 kes per 100,000 penduduk, disusuli Seberang Perai Tengah (914) dan Seberang Perai Utara (536).

Di bahagian pulau, kawasan timur laut yang juga lokasi ibu negeri, George Town, merekodkan 219 kes per 100,000 populasi, manakala bahagian barat daya merekodkan 448 kes. Keseluruhan kadar insiden di negeri itu adalah 540. Semua kadar insiden adalah bagi tempoh antara 13 hingga 19 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.