
Saksi, Zulfadhly Yacob berkata, beliau tidak menemui sebarang rekod aktiviti pembaptisan oleh pasangan itu ketika menjadi pegawai penyiasat (IO) untuk kes itu sehingga awal tahun ini.
“Siasatan saya mengenai orang hilang. Tiada apa-apa mengenai pembaptisan,” katanya ketika disoal Pesuruhjaya SUHAKAM dan pengerusi inkuiri, Mohd Hishamudin Yunus.
Peguam Philip Koh, yang mewakili keluarga Ruth, bertanya jika saksi itu tahu Joshua menjadi pastor selepas meninggalkan Islam.
“Saya tidak tahu, tetapi ketika saya mengambil keterangan sepasang suami dan isteri, saya teringat mereka berjumpa dengannya untuk mendapatkan rawatan. Mereka tidak pernah menyebut beliau ialah pastor,” kata Zulfadhly.
Katanya, beliau tidak meminta butiran lanjut sama ada “rawatan” ini ada kaitan dengan pembaptisan.
Beliau tidak ingat perkara lain daripada kenyataan yang dirakamkan itu.
Ditanya oleh Roger Chan, pemerhati Majlis Peguam, jika beliau membuat hipotesis sebagai petunjuk siasatan, Zulfadhly mengakui beliau tidak berbuat demikian.
Berdasarkan dokumen yang diberikan polis, inkuiri itu mendapati polis menulis surat kepada Jabatan Imigresen untuk mendapatkan butiran perjalanan Joshua di dalam dan luar negara pada April 2017. Jabatan itu menjawab tiada rekod sedemikian dalam sistemnya.
Polis menulis surat kepada Jabatan Imigresen semula pada Oktober 2018 dan September 2020, serta meneirma rekod Joshua memasuki dan meninggalkan negara antara 2006 serta 2012.
Zulfadhly berkata, tindakan tidak konsisten itu berlaku kerana jabatan terbabit melakukan kesalahan menaip dan memasukkan nombor kad pengenalan salah selepas permintaan pertama.
Beliau turut menafikan kes itu diambil ringan kerana membabitkan kehilangan seorang warga Indonesia dan katanya, beliau memainkan peranannya dalam membantu siasatan ketika menjadi IO.
Inkuiri itu turut mendapati polis hanya menulis surat untuk mendapatkan butiran pergerakan Ruth pada Mac 2018, hampir setahun selepas mereka meminta rekod Joshua.
Zulfadhly berkata, terpulang kepada IO untuk menentukan bila hendak mengambil tindakan susulan dengan pihak berkuasa kerajaan berkaitan.
Merujuk siasatan tertangguh itu, Syahar Banu, dari pengawasan kekebalan dalam bahagian advokasi Komisi untuk Orang Hilang & Korban Tindak Kekerasan (KontraS) Indonesia, kemudiannya bertanya apa kelayakan sesuatu kes yang memerlukan tindakan segera polis.
Muhamad Sabri, wakil polis untuk inkuiri itu, memberi jaminan semua kes ditangani dengan kepentingan sama dan berdasarkan SOP ditetapkan kepimpinan tertinggi.
Joshua, orang Melayu yang memeluk agama Kristian, dan isterinya, Ruth hilang sejak November 2016. Prosiding seterusnya ditetapkan pada 2 petang 26 Ogos ini.