
Dr Boo Cheng Hau berkata, langkah itu memberi impak negatif terhadap imej parti dan menambah “defisit kepercayaan” antara pemimpinnya dan masyarakat.
Boo, yang juga ahli jawatankuasa DAP negeri Johor berkata, berikutan kontroversi 1MDB dan pembelotan di Sabah yang mengakibatkan pertikaian mengenai jawatan ketua menteri, orang ramai menjadi lebih berhati-hati dengan urusan politik rahsia.
“Mereka akan mula mempersoalkan perjanjian ini jika ia dianggap sebagai satu bentuk tawar-menawar,” katanya sambil menambah bahawa beliau menerima aduan daripada ahli parti yang tidak puas hati.
Bekas ketua DAP Johor itu juga berkata, perjanjian tawar-menawar ini mungkin bukan yang terbaik demi kepentingan Pakatan Harapan (PH), DAP dan demokrasi.
Katanya, ahli parti berhak tahu urusan pemimpin mereka.
Pada Ahad, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengesahkan PH memberi lampu hijau kepada pemimpinnya untuk mula berunding dengan seteru politik bagi merungkai situasi politik semasa.
Ini susulan laporan oleh Sin Chew Daily bahawa Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming membantu mendraf cadangan yang dikemukakan Muhyiddin Yassin pada Jumaat untuk memastikan pentadbirannya kekal utuh.
“Ahli-ahli DAP tidak boleh membiarkan laporan media berbaur anti-DAP ini memberi gambaran buruk terhadap DAP sehingga memecahbelahkan parti kita,” kata Lim.
Boo bagaimanapun menggambarkan langkah mengadakan perbincangan mengenai pembaharuan dengan “rejim yang gagal” sebagai “tidak wajar”.
Penganalisis politik Kenneth Cheng berkata, episod ini tidak akan memecah belahkan DAP, walaupun masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada Pua dan Ong akan terkesan.
“Saya rasa Lim melindungi mereka dengan berkata, mereka diberi lampu hijau,” katanya.
Cheng berkata, walaupun langkah tersebut boleh menyebabkan perpecahan, cadangan itu mendapat sedikit sokongan umum.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura juga tidak percaya DAP akan berpecah belah akibat perkara ini.
“Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk tidak menerima tawaran Muhyiddin,” kata Oh.
Dalam apa pun keadaan katanya, tidak salah untuk berbincang dengan seteru politik untuk meneroka sebarang kemungkinan.